MELAKA MEMBINA MASA DEPAN MARITIM LEBIH HEBAT

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

KUALA LINGGI 1 Oktober – Komitmen untuk memperkukuhkan lagi perkembangan industri maritim di Melaka diterjemahkan menerusi perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Kerajaan Negeri dan MISC Berhad.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bagi mencapai hasrat itu aspek pengurusan, pendidikan dan penyediaan tenaga kerja berkemahiran adalah perkara mustahak yang perlu diberikan perhatian.

Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, pembangunan industri maritim Melaka tidak boleh berhenti dengan sekadar pembinaan infrastruktur atau kemasukan pelaburan semata-mata.

“Sehubungan itu Kerajaan Negeri mewujudkan kerangka kerjasama strategik bersama MISC Berhad untuk memperkukuhkan lagi sektor maritim di Melaka. Pembangunan ini mesti akhirnya memberi manfaat kepada rakyat, membuka peluang pekerjaan dan menyediakan ruang kepada anak-anak muda kita untuk membina masa hadapan mereka sendiri.

“Sebab itu, kita mahu kadet-kadet sedang menimba ilmu dan menjalani latihan di Akademi Laut Malaysia (ALAM) diberikan ruang lebih luas untuk memperoleh pendedahan industri, membina kepakaran dan seterusnya mempunyai laluan kerjaya jelas dalam ekosistem maritim yang sedang kita bangunkan.

“Insya-Allah, dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka, MISC Berhad, ALAM, pemain industri, institusi pendidikan serta seluruh rakan strategik, kita akan terus membina asas ke arah menjadikan Melaka sebuah negeri yang bukan sahaja mempunyai sejarah maritim yang hebat, tetapi masa depan maritim yang lebih hebat,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ‘The Next Wave: Maritime Education Symposium’ sempena Minggu Maritim Malaysia 2026 di Kampus ALAM, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Dr. Mohd Yusof Abu Bakar mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat @Limat.

Yang turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan MISC Berhad Datuk Zahid Osman, Pengerusi Malaysia Maritime Academy Sendirian Berhad Datuk Abu Huraira Abu Yazid, Naib Presiden, Marine Services, MISC Berhad Mohd Denny Mohd Isa dan Ketua Eksekutif Akademi Laut Malaysia Prof Emeritus Datuk Dr. Abu Abdullah serta kenamaan lain.

Ab Rauf berharap MISC, ALAM serta seluruh pemain industri agar terus membuka ruang dan peluang kepada kadet-kadet yang memenuhi standard serta menunjukkan prestasi yang baik untuk membina kerjaya dalam industri ini.

“Jika hari ini mereka melangkah masuk ke ALAM sebagai kadet, kita mahu suatu hari nanti mereka keluar sebagai ‘ship officers’,’marine engineers’, ‘maritime’ specialists malah sebagai pemimpin industri.

“Diharapkan mereka ini bukan untuk berkhidmat di Melaka atau Malaysia sahaja, tetapi sebagai tenaga profesional mampu bersaing dan memimpin di pentas maritim dunia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

457
Kongsi :
Previous post ‘BLACK PANTHER’ COMEL PENYERI BAHARU ZOO MELAKA
Next post KPDN PERKUKUH EKOSISTEM PERNIAGAAN PATUH DI MELAKA