
JEMAAH LEBIH SELESA TUNAI IBADAH, TERIMA KASIH TOK RAUF
TANJUNG BIDARA 2 Oktober – Selepas hampir setahun ditutup akibat masalah kebocoran serius, Masjid Al-Jawahir, Pengkalan Balak, kini kembali dibuka kepada jemaah dengan wajah baharu selepas kerja baik pulih dianggar bernilai RM1.4 juta.
Masjid bersejarah yang dibina pada 1911 itu mula dibuka semula pada 1 Oktober 2026, sekali gus membolehkan penduduk setempat kembali menunaikan ibadah dalam suasana lebih selesa dan selamat.
Pengerusi Masjid Al-Jawahir, Mohd Said Harun berkata, kerja baik pulih dilakukan membabitkan keseluruhan bumbung masjid yang sebelum ini mengalami kebocoran sehingga menyebabkan air hujan bertakung dan melimpah ke ruang solat.
“Masjid ini ditutup pada Oktober tahun lalu kerana banyak kebocoran. Apabila hujan lebat, air masuk dan bertakung sehingga melimpah ke kawasan karpet.
“Alhamdulillah, selepas kerja baik pulih selesai, masjid ini dibuka semula pada 1 Oktober di mana kami mengimarahkan pembukaan semula masjid ini dengan solat subuh berjemaah, diikuti bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat selepas solat maghrib,” katanya kepada pemberita.
Hari ini, masjid terbabit kembali dipenuhi jemaah bagi menunaikan solat jumaat pertama selepas dibaik pulih.
Istimewanya, Ketua Menteri merangkap penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turut bersama jemaah menunaikan solat jumaat di masjid itu.
Menurut Mohd Said, selain bumbung, kerja baik pulih turut melibatkan pemasangan kaca di sekeliling ruang masjid, selain penggantian karpet, sistem pembesar suara (PA), pendingin hawa, lampu dan siling.

Katanya, perubahan itu mendapat reaksi positif daripada jemaah yang menyifatkan keadaan masjid kini lebih selesa dan kemas.
“Jemaah sangat berpuas hati. Kalau kita tengok keadaan masjid sekarang memang nampak banyak perbezaan berbanding sebelum ini. Yang paling penting, jemaah kini dapat beribadah dalam keadaan lebih selesa,” katanya.
Mohd Said berkata, pihak jawatankuasa masjid turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri yang telah berusaha merealisasikan kerja baik pulih masjid berusia 115 tahun itu.
Katanya, cadangan untuk menaik taraf masjid itu telah disuarakan kepada Ab Rauf sejak awal menjadi wakil rakyat sehinggalah peruntukannya diluluskan.
Beliau berkata, Masjid Al-Jawahir yang turut berstatus Masjid DUN Tanjung Bidara mampu menampung kira-kira 500 jemaah pada satu-satu masa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


