DARI HUTAN RUMBIA JADI DENAI RIADAH

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER LIMAU 12 Oktober – Kawasan yang dahulunya dipenuhi hutan rumbia kini berubah wajah menjadi lokasi riadah dan rekreasi selepas kawasan itu dibangunkan menjadi Denai Sungai Kebangsaan di Lubok China.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lubok China, Zainuddin Maulud berkata, kewujudan denai yang dibangunkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Melaka itu sememangnya dinantikan penduduk kerana menyediakan ruang untuk beriadah, bersenam dan meluangkan masa bersama keluarga.

Katanya, pembinaan denai berkenaan antara usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer bagi menyediakan kemudahan rekreasi yang lebih selesa kepada penduduk setempat.

“Lokasi ini dulu hanya hutan rumbia, siapa sangka akhirnya dibangunkan dan dijadikan denai yang secara tidak langsung memberi wajah baharu kepada kawasan ini.

“Pembangunan ini juga menaikkan imej Lubok China yang menjadi antara pintu masuk ke Melaka memandangkan kedudukannya bersempadan dengan Negeri Sembilan,” katanya.

Menurut Zainuddin, usaha memperindah kawasan berkenaan turut diteruskan apabila cadangan memanjangkan denai sejauh kira-kira satu kilometer kini sedang diusahakan.

Katanya, penambahan jajaran berkenaan dijangka memberi lebih banyak ruang kepada penduduk untuk melakukan aktiviti riadah selain berpotensi menjadikan kawasan tepi sungai itu sebagai lokasi rekreasi pilihan.

“Sebagai penduduk, pastinya cadangan itu disambut baik kerana dengan adanya penambahan fasiliti baharu, lokasi ini mampu menjadi tempat rekreasi pilihan ramai.

“Malah, naik taraf itu juga dapat menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat, selain menjadikan kawasan tepi sungai lebih terurus dan menarik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

850
Kongsi :
Previous post MAIM BINA GENERASI KEDUA ASNAF MAMPU UBAH MASA DEPAN
Next post TOK RAIS BAWA SEMANGAT SAYANG RAKYAT KE DUN SUNGAI UDANG