MAIM BINA GENERASI KEDUA ASNAF MAMPU UBAH MASA DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BUKIT KATIL 11 Oktober – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menyasar untuk melahirkan generasi kedua asnaf yang bukan sahaja berjaya dalam pendidikan dan kerjaya, malah mampu menyumbang semula kepada masyarakat menerusi ilmu serta kemahiran yang diperoleh.

Ketua Unit Pembangunan Asnaf, Bahagian Pembangunan Insan MAIM, Muhammad Azizol Mohd Sahimi berkata, matlamat itu antara yang ingin dicapai menerusi penganjuran Himpunan Bitara MAIM yang menghimpunkan 84 anak penerima bantuan zakat berusia 18 hingga 25 tahun.

Beliau berkata, program itu menjadi platform untuk menyemai semangat peserta supaya terus berusaha dalam pengajian, selain membina kesedaran mengenai tanggungjawab mereka untuk memanfaatkan peluang pendidikan yang diterima.

“Pada masa sama, kita berharap apabila mereka berjaya, mereka boleh menyumbang kembali kepada komuniti dan masyarakat dengan ilmu serta manfaat yang diperoleh daripada dana zakat,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Program Himpunan Bitara MAIM Tahun 2026 di Masjid Al-Ehsan, Bukit Baru, di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, peserta himpunan itu terdiri daripada anak-anak asnaf yang belajar di pelbagai institusi pengajian tinggi dalam dan luar Melaka, meliputi peringkat pengajian persijilan hingga ijazah sarjana muda.

Beliau berkata, program itu turut menyediakan ruang kepada peserta mendapatkan pendedahan daripada pakar serta berkongsi pandangan mengenai bentuk sokongan yang diperlukan untuk membantu mereka berkembang sepanjang pengajian.

“Menerusi sesi Ideathon, peserta berpeluang mengemukakan cadangan berkaitan usaha pembangunan generasi kedua asnaf yang boleh dipertimbangkan pihak pengurusan MAIM untuk perancangan jangka panjang.

Himpunan Bitara MAIM yang mula dilaksanakan pada 2025 itu kini memasuki edisi kedua dan dirancang diteruskan pada tahun hadapan selagi selaras dengan pelaksanaan Pelan Induk Transformasi Asnaf (PINTAS) yang digagaskan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

498
Kongsi :
Previous post SUNGAI UDANG: RAIS BERI BAYANGAN ‘SUDAH TERANG LAGI BERSULUH’