JEREBU: SEMUA SEKOLAH DI MELAKA TUTUP ESOK

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 12 Oktober – Semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Melaka ditutup esok (Selasa, 13 Oktober) susulan situasi jerebu dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tiga kawasan di negeri ini merekodkan bacaan tahap tidak sihat.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, penutupan itu adalah selaras dengan arahan KPM selepas mengambil kira keadaan kualiti udara semasa.

Katanya, penutupan berkenaan turut melibatkan Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM dan tadika di Melaka, namun tempoh penutupan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Setakat ini, Jabatan Pendidikan Negeri menerima arahan daripada KPM supaya semua sekolah di bawah kementerian itu ditutup esok (Selasa, 13 Oktober),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Setakat jam 4 petang tadi, Bukit Rambai merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 161, diikuti Bandaraya Melaka (155) dan Alor Gajah (153).

Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat dan boleh memberi kesan kepada kesihatan, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, keputusan berhubung penutupan dan pembukaan sekolah susulan jerebu akan dibuat dari semasa ke semasa berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) garis panduan sedia ada serta nasihat agensi berkaitan.

Beliau berkata, keputusan itu mengambil kira nasihat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Beliau turut meminta ibu bapa sentiasa mengikuti perkembangan terkini daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan JPN masing-masing khususnya berkaitan penutupan atau pembukaan sekolah serta langkah menjaga kesihatan murid.

Diharapkan juga ibu bapa memainkan peranan dengan memantau tahap kesihatan anak-anak dan tidak menghantar mereka ke sekolah sekiranya tidak sihat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1488
Kongsi :
Previous post KESIHATAN MENTAL REMAJA: KENALI TANDA, BERIKAN SOKONGAN AWAL
Next post MPHTJ KONGSI AMALAN HIJAU DI PERINGKAT ANTARABANGSA