MELAKA SENTIASA HARGAI, JAGA KEBAJIKAN TENTERA

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

SUNGAI UDANG 24 Oktober – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh hadir untuk bersama-sama memeriahkan Sambutan Hari Keluarga Peringkat 10 Briged (Para) Tahun 2026 di AORC Kem Terendak, di sini, hari ini.

Sambutan bersempena Hari Ulang Tahun 10 Briged (Para) Ke-32 Tahun 2026 itu turut dihadiri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Panglima 10 Briged (Para) Mejar Jeneral Datuk Khairul Anwar Soib.

Penganjuran sambutan itu berlangsung dalam suasana penuh meriah apabila dihadiri lebih 4,000 warga 10 Briged (Para) bersama ahli keluarga masing-masing.

Rais berkata, kehadiran ketua menteri adalah untuk menterjemahkan tanda penghargaan kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khusus 10 Briged (Para) yang menjadi barisan utama dalam mempertahankan negara.

“Kita bukan sahaja turun padang untuk meraikan warga 10 Briged (Para) tetapi memastikan kebajikan mereka ini sentiasa terbela, kita melihat keperluan mereka dari semasa ke semasa.

“Sebelum ini Kerajaan Negeri sudah menyalurkan RM1 juta bagi melaksanakan kerja-keja naik taraf taraf sistem bekalan air dan menurap laluan sudah dikenal pasti. Peruntukan itu bukan sahaja untuk Kem Terendak tetapi turut diagihkan ke Kem Sungai Udang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Pada masjlis sama Rais turut menyampaikan sumbangan kepada 14 wakil yang mewakili rejimen, kompeni dan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) bernuang dibawah 10 Briged (Para) yang antaranya adalah 17 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para), 9 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para), 8 Rejimen Renjer Diraja (Para) Kompeni Bantuan (Para) dan Kompeni Perubatan (Para).

Sebelum ini Melaka Hari Ini Melaporkan peruntukan RM1 juta diluluskan Kerajaan Negeri bagi menangani isu bekalan air di Kem Terendak dan Kem Sungai Udang.

Peruntukan itu dimanfaatkan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan paip kritikal dan penyelenggaraan jalan raya sebagai langkah segera mengurangkan gangguan kepada warga kem berkenaan.

Rais sebelum ini juga berkata peruntukan itu amat penting kerana projek retikulasi air baharu bernilai lebih RM40 juta yang sedang dilaksanakan hanya dijangka siap sepenuhnya pada 2028.

Sehubungan itu Kerajaan Negeri tidak mahu menunggu sehingga projek berkenaan siap kerana gangguan bekalan air akibat kebocoran paip sedia ada boleh terus menjejaskan kehidupan anggota tentera serta keluarga mereka.

Sementara itu Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) turut tampil membantu menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memastikan kebajikan penduduk terus terpelihara ketika berlaku gangguan bekalan air.

SAMB akan menyediakan tangki air untuk ditempatkan di beberapa lokasi strategik, khususnya kawasan perumahan di dalam kem, sebagai bekalan sementara sekiranya berlaku gangguan.

Penempatan tangki air itu akan dilaksanakan selepas mendapat kebenaran daripada Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta Panglima 3 Divisyen bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih berkesan kepada warga Kem Terendak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

539
Kongsi :
Previous post DERMA DARAH, SARINGAN KESIHATAN PERCUMA TUNGGU MELAKA 8 NOVEMBER INI
Next post SASAR 125,000 HUFFAZ PROFESIONAL MENJELANG 2050