
AHMAD ZAHID TITIP EMPAT AMANAT, BEKALAN BUAT HUFFAZ TEMPUH MASA DEPAN
BANDARAYA MELAKA 25 Oktober – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi menitipkan empat amanat kepada golongan huffaz sebagai panduan meneruskan kehidupan selepas menamatkan pengajian.
Beliau berkata, pesanan itu merangkumi penjagaan hafazan al-Quran, pembentukan akhlak, penguasaan ilmu serta tanggungjawab berbakti kepada keluarga dan masyarakat bagi memastikan golongan huffaz menjadi insan yang memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
Katanya, amanat pertama ialah memastikan hafazan al-Quran terus dipelihara menerusi amalan murajaah atau mengulang hafazan secara konsisten walaupun selepas menamatkan pengajian.
“Peliharalah hafazan. Jangan tinggalkan murajaah apabila sudah tamat pengajian yang mana 30 juzuk yang anak-anak hafal perlu terus hidup dalam ingatan dan jadikanlah amalan.
“Manakala untuk amanat kedua pula jagalah akhlak yang mana orang mengenali anda kerana hafazan tetapi menghormati anda kerana kejujuran, adab dan cara melayani orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Huffaz Dan Apresiasi Kecemerlangan Ulul Albab, di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad dan Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Profesor Datuk Dr. Mizan Hitam.
Mengulas amanat ketiganya, Ahmad Zahid mengingatkan golongan huffaz supaya tidak berhenti menuntut ilmu, sebaliknya terus menguasai bahasa, teknologi dan kemahiran baharu bagi menghadapi perubahan dunia.
“Ini kerana dunia berubah dan anda mesti bersedia menghadapi perubahan itu.
“Manakala untuk amanat keempat pula gunakan kejayaan untuk berbakti yang mana apabila sudah mempunyai ilmu, kedudukan, rezeki lebih yang pertama bantu ibu bapa.
“Selain jadilah insan yang membawa penyelesaian kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata jasa guru dan murabbi yang tidak jemu membimbing pelajar serta pengorbanan ibu bapa perlu sentiasa dikenang apabila golongan huffaz mencapai kejayaan.
“Kepada guru dan murabbi, terima kasih kerana tidak pernah jemu membimbing anak-anak ini selain untuk ibu bapa, saya tahu ada doa yang panjang dan pengorbanan yang mungkin tidak pernah diceritakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


