PRN MELAKA: BN GUGUR LAPAN PENYANDANG DUN TERMASUK TIGA EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 25 Oktober – Barisan Nasional (BN) melakukan perubahan dalam barisan calonnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 apabila tiga Exco Kerajaan Negeri tidak dicalonkan semula termasuk lima penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) digantikan dengan muka baharu.

Keseluruhan penyandang yang gugur itu menyaksikan tiga Exco melibatkan Datuk Rahmad Mariman sebagai Penyandang DUN Ayer Molek digantikan dengan Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Exco Kerajaan Negeri yang kedua dan ketiga yang digugurkan melibatkan Datuk Kalsom Noordin sebagai Penyandang DUN Pengkalan Batu yang digantikan Siti Aisyah Mahmood serta Datuk VP Shanmugam sebagai Penyandang DUN Gadek digantikan S Nadarajah.

Selain itu, lima lagi bekas penyandang yang digugurkan membabitkan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali di DUN Lendu yang digantikan muka baharu iaitu Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid.

Seterusnya, Penyandang DUN Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil digantikan dengan bekas Senator Dewan Negara Datuk Dr. Mustafa Musa.

DUN Sungai Rambai digantikan dengan Jezlee Pit yang mana penyandangnya Datuk Siti Faizah Abd Azis digugurkan dan penyandang DUN Serkam Datuk Zaidi Attan digantikan dengan Datuk Azman Abdullah.

Manakala DUN Rembia yang sebelum ini dimenangi BN menerusi Datuk Jailani Khamis digantikan dengan Ahmad Norazril Abd Aziz sebagai muka baharu di kawasan tersebut.

Pertukaran itu memperlihatkan usaha BN menyusun semula barisan calonnya dengan memberi peluang kepada muka baharu untuk membawa cabaran parti dalam persaingan merebut mandat rakyat pada PRN kali ini.

Bagaimanapun, perubahan barisan calon turut menyaksikan penyandang DUN Paya Rumput Datuk Rais Yasin bertukar ke DUN Sungai Udang, sekali gus menunjukkan tidak semua perubahan membabitkan pengguguran penyandang.

Pada PRN Melaka Ke-16, BN mengumumkan akan bertanding di 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala tujuh kerusi lagi diperuntukkan kepada PAS dan rakan gabungannya menerusi persefahaman politik.

PRN Melaka dijadual berlangsung pada 14 November ini, dengan penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

563
Kongsi :
Previous post BN BAWA PELBAGAI KEMAJUAN UNTUK MELAKA
Next post PRN MELAKA: ZAHID PUJI KEJAYAAN AB RAUF PACU KEMAJUAN MELAKA