BN BAWA PELBAGAI KEMAJUAN UNTUK MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 57 Saat

AYER KEROH 25 Oktober – Rekod pelaburan tertinggi dalam tempoh 22 tahun, pertumbuhan ekonomi, pengukuhan kebajikan serta pembangunan pendidikan dan pelancongan antara pencapaian yang dibawa Barisan Nasional (BN) dalam menerajui pembangunan Melaka.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kemajuan dinikmati negeri hari ini bukan terbina dalam sekelip mata, sebaliknya hasil usaha berterusan, pengorbanan dan dasar pembangunan yang digerakkan BN sejak sekian lama.

Beliau berkata, warisan pembangunan itu menjadi amanah untuk diteruskan, bukan sekadar dibanggakan sebagai sejarah atau digunakan sebagai lambang ketika pilihan raya, tetapi perlu diterjemahkan melalui usaha membela rakyat dan memajukan negeri.

“Kemajuan yang kita nikmati hari ini tidak datang bergolek. Tidak juga terbina dalam sehari dua. Di sebaliknya ada keringat, pengorbanan dan sejarah panjang pembangunan negeri, termasuk dasar serta usaha yang digerakkan oleh Barisan Nasional sejak sekian lama.

“Hari ini, warisan itulah yang kita pikul. Bukan sekadar nama dalam sejarah, bukan sekadar lambang ketika pilihan raya, tetapi amanah untuk terus membela rakyat dan membangunkan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon Barisan Nasional Negeri Melaka yang disempurnakan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Utama Mohamad Hasan; Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan; Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Dr. Loga Bala Mon; Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Bendahari Agung Barisan Nasional Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, Melaka mencatatkan pelaburan RM14.68 bilion pada 2025, sekali gus merekodkan pencapaian tertinggi dalam tempoh 22 tahun, manakala Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri meningkat daripada RM41.9 bilion pada 2021 kepada RM50.3 bilion pada 2025.

Menurutnya, pendekatan itu turut diterjemahkan melalui agenda kebajikan apabila sebanyak RM90.55 juta Bantuan MeSRa Kebajikan disalurkan sepanjang 2021 hingga September 2026, membabitkan 42,521 penerima.

Dalam sektor perumahan pula, ujar beliau, Program Melaka Rumahku menyaksikan 153 rumah dibaik pulih dan 113 rumah dibina baharu dengan peruntukan melebihi RM9.01 juta.

Ab Rauf berkata, pendidikan juga terus menjadi keutamaan apabila hampir RM200 juta dana pendidikan diperuntukkan, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 140,000 anak muda Melaka.

Selain itu, usaha memperkukuh ekonomi tempatan turut digerakkan melalui penghasilan Beras Melaka bagi membangunkan potensi sektor agromakanan dan meningkatkan keupayaan pengeluaran tempatan.

Beliau berkata, sektor pelancongan juga mencatatkan perkembangan memberangsangkan apabila Melaka menerima 15.93 juta pengunjung pada 2025 dengan kutipan hasil pelancongan RM14.92 bilion.

“Setakat Januari hingga Ogos 2026, negeri ini telah merekodkan 11.21 juta pengunjung dengan kutipan hasil RM11.32 bilion,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan yang pada awalnya menerima pelbagai kritikan dan kebimbangan turut memberi manfaat kepada ekonomi setempat apabila menarik hampir tujuh juta pengunjung serta membantu hampir 400 peniaga tempatan, selain menerima dua pengiktirafan Malaysia Book of Records.

“Inilah limpahan ekonomi yang kita mahu lihat. Di sebalik kerancakan ini, ada pengusaha hotel, pemandu pelancong, peniaga makanan, pengusaha kraftangan dan peniaga kecil yang turut menikmati peluang rezeki daripada perkembangan ekonomi negeri,” katanya.

Ab Rauf berkata, pencapaian itu bukan hasil usaha seorang individu, sebaliknya digerakkan bersama jentera pentadbiran yang bertungkus-lumus menghadapi pelbagai cabaran bagi memastikan hala tuju pembangunan negeri terus dilaksanakan.

“Dan kalau hari ini Melaka mencatatkan satu demi satu pencapaian, saya mahu tegaskan, ini bukan kejayaan saya seorang.

“Di belakang dan di sisi saya, ada jentera pentadbiran yang saban hari bertungkus-lumus mengharungi seribu satu cabaran demi menggerakkan hala tuju negeri ini,” tegasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

397
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: CALON BN DUN LENDU BERGEGAS KE LOKASI POKOK TUMBANG, PRIHATIN NASIB TIGA MANGSA
Next post PRN MELAKA: BN GUGUR LAPAN PENYANDANG DUN TERMASUK TIGA EXCO