
KONDA-KONDI, DAM AJI JADI TARIKAN PELANCONG ASING DI FESTIVAL SILANG BUDAYA MELAKA
BANDARAYA MELAKA 30 Oktober – Inisiatif Kerajaan Negeri Melaka mengetengahkan sukan rakyat seperti konda kondi dan dam aji pada Festival Pertukaran Budaya 2026 menjadi strategi serampang dua mata dalam menggamit kedatangan pelancong asing dan memupuk minat dalam kalangan generasi muda untuk mencuba permainan berkenaan.
Pengurus Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka, Nasrul Ahmad berkata, walaupun pengisian utama festival antarabangsa itu diterajui oleh Jabatan Warisan Negara, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif dengan menyediakan aktiviti tambahan berbentuk sukan rakyat.
Menurut beliau, pertandingan Konda-Kondi dan Dam Aji akan dilangsungkan secara berterusan selama dua hari penganjuran festival iaitu pada 31 Oktober hingga 1 November ini di Muzium Istana Kesultanan Melaka, Banda Hilir.
Langkah mengembalikan nostalgia sukan rakyat itu bertujuan memperkenalkan warisan tidak ketara tersebut kepada dunia luar, di samping memastikan khazanah bangsa itu tidak pupus ditelan kemodenan zaman.
“Aktiviti sukan rakyat ini memberi peluang kepada masyarakat, khususnya generasi muda dan pelancong asing untuk mengenali, mencuba serta menghargai permainan tradisional yang mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat Melaka.
“Kita percaya pendekatan yang menggabungkan penyertaan masyarakat secara langsung inilah yang menjadikan sesebuah festival itu lebih bermakna berbanding sekadar acara persembahan,” katanya ketika ditemui selepas bersiaran langsung di Konti MelakaFM, pada Isnin.
Nasrul menegaskan, nilai warisan tidak seharusnya terkurung sebagai bahan pameran semata-mata, sebaliknya perlu dihidupkan dalam rutin masyarakat majmuk.
“Warisan tidak seharusnya terbatas kepada ruang pameran atau acara rasmi sahaja. Warisan perlu terus diamalkan, dipelajari dan diwariskan. Lebih ramai anak muda yang terlibat, lebih besar peluang untuk tradisi tersebut kekal relevan pada masa hadapan,” jelasnya lagi.
Bagi pihak Kerajaan Negeri Melaka, kejayaan penganjuran festival itu bukan hanya diukur melalui kemeriahan acara dan jumlah kehadiran delegasi luar, tetapi sejauh mana ia memberi manfaat, kesedaran baharu, serta penglibatan langsung komuniti setempat.
Festival bertaraf antarabangsa itu bakal menghimpunkan penyertaan dari enam buah negara iaitu Brunei, China, Indonesia, Singapura, Thailand dan Malaysia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


