PRN MELAKA: 189 BORANG PENCALONAN DIBELI, 45 INDIVIDU BAYAR DEPOSIT

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PAYA RUMPUT 30 Oktober – Sebanyak 189 borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah dibeli setakat malam tadi, manakala 45 individu sudah menjelaskan bayaran deposit.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Haron berkata sebanyak 28 pusat penamaan calon di seluruh negeri bersedia menerima bakal calon mengemukakan borang masing-masing esok.

Menurutnya, proses penyerahan borang penamaan calon akan berlangsung serentak bermula jam 9 pagi hingga 10 pagi.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua bakal calon kita untuk hadir awal pada pagi esok ke semua pusat penamaan calon yang telah kita sediakan bagi memberi ruang untuk kita membuat semakan secara lebih terperinci.

“Kita tidak mahu ada masalah yang mungkin menyebabkan seseorang itu tidak dapat bertanding. Kita cuba elakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan di pusat penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Ballroom Stadium Hang Jebat, Krubong, di sini hari ini.

Ramlan berkata, kesemua pusat berkenaan berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya, dengan penugasan membabitkan 28 pegawai pengurus yang dibantu 80 penolong pegawai pengurus serta petugas lain.

Jelasnya, latihan kepada pegawai terlibat telah dilaksanakan sejak lebih setahun bagi memastikan mereka memahami proses dan tanggungjawab masing-masing, termasuk yang pertama kali mengendalikan penamaan calon.

“Seperti di Paya Rumput ini, pegawai pengurusnya merupakan pegawai pengurus yang kali pertama, tetapi berdasarkan pemerhatian kita dalam simulasi pada hari ini, semuanya berjalan dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru penyokong yang hadir mengiringi bakal calon supaya mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan proses penamaan calon berlangsung dengan aman dan tertib.

“Orang ramai turut diminta mengambil maklum kemungkinan penutupan jalan bagi melancarkan pergerakan di sekitar pusat penamaan calon.

“Sama-sama kita berdoa semoga proses penamaan calon yang akan berjalan esok berlangsung dalam suasana yang aman, tertib, tenteram dan tiada sebarang gangguan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

222
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: 189 BORANG CALON DIBELI, 45 SUDAH BAYAR DEPOSIT – SPR
Next post TOK RAUF TERHARU JUALAN MURAH DAPAT SAMBUTAN LUAR BIASA ORANG MASJID TANAH