BALAI SENI LUKIS BAWA 48 KARYA GAMIT MEMORI, WARISAN MASYARAKAT FELDA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDA HILIR 31 Oktober – Sebalik warna, tekstur dan bentuk hasil seni dipamerkan tersirat kisah kehidupan, memori serta trasformasi masyarakat tanah rancangan Felda.

Hasil seni menceritakan kisah suka-duka orang Felda itu kini dipertontonkan kepada umum menerusi Pameran Lakar Kesan Tinggal Pesan 2026 di Balai Seni Lukis Melaka.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Erne Hamsah, berkata pameran bertemakan ‘Felda, Tanah, Kehidupan dan Ingatan’ itu menghimpunkan 43 lukisan dan lima arca hasil karya tujuh pengkarya daripada komuniti tanah rancangan tersebut.

“Pameran ini bertujuan mengangkat pengalaman dan memori kehidupan di tanah rancangan menerusi seni visual, selain mendokumentasikan sumbangan pengkarya daripada komuniti itu dalam memperkayakan warisan sosial dan budaya negara.

“Keistimewaan pameran ini terletak pada kepelbagaian pendekatan seni digunakan, termasuk permainan warna, imej, objek, tekstur, tumbuhan dan tanah bagi mengetengahkan memori komuniti serta sejarah setempat melalui perspektif seni kontemporari,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Katanya, selain memperkenalkan seni visual kepada masyarakat, pameran itu turut membuka ruang kepada generasi muda memahami sejarah pembangunan luar bandar dan pengalaman hidup masyarakat Felda melalui pendekatan lebih kreatif.

“Pemilihan Melaka sebagai lokasi pameran membolehkan kisah komuniti Felda dikongsi dengan khalayak lebih luas, termasuk pelawat muzium, pelajar, pendidik dan pengkaji.

“Tujuh pengkarya terlibat ialah Zaharee Jaafar, Muhammad Naszrul Saliman dan Norazlan Ahmad dari Felda Tenang, Segamat; Dr. Rosli Zakaria dari Felda Semencu, Kota Tinggi; Hadi Salleh dari Felda Sening, Kota Tinggi; Hisammudin Ahmad dari Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi serta Shahrul Munir Mohd Kaulan dari Felda Jengka 20.

Pameran ini berlangsung dari 20 Oktober hingga 31 Disember 2026 dengan menyasarkan kehadiran 5,000 pengunjung. Tiket masuk berharga RM5 bagi dewasa (tempatan), RM10 bagi dewasa (warga asing), RM3 bagi kanak-kanak (tempatan) dan RM5 bagi kanak-kanak (warga asing).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

449
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: MERLIMAU SAKSI PERTEMBUNGAN DUA PENJURU
Next post PRN MELAKA: PERTEMBUNGAN DUA PENJURU DI N04 LENDU