‘JELITA’ BANTU HAMPIR 5,000 WANITA BINA KERJAYA

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

DURIAN TUNGGAL 29 Oktober – Hampir 5,000 wanita dan siswi kini memiliki kerjaya sendiri hasil daripada inisiatif JELITA sejak diperkenalkan pada 2024.

Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, sejak diperkenalkan inisiatif JELITA sudah melatih seramai 10,000 wanita seluruh negara.

Katanya, pencapaian itu mencerminkan peranan JELITA dalam memperluas akses wanita kepada peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran, sekali gus meletakkan mereka sebagai antara pemacu ekonomi negara.

“Agenda pemerkasaan wanita menerusi inisiatif itu kini memasuki fasa baharu dengan penekanan kepada penguasaan kemahiran teknikal, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta peluang pekerjaan berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Latihan Pecutan Intensif 12 Jam JELITA 2026 yang dirasmikan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di UTeM, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek; Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Penasihat TVET JELITA, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad serta Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Menurutnya, usaha memperkasa wanita perlu melangkaui penyertaan dalam program latihan dengan memastikan kemahiran yang diperoleh dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan bersesuaian serta pembangunan kerjaya.

“Wanita bukan sekadar penyertaan dalam pembangunan negara, tetapi merupakan pemacu utama kemajuan dan kemakmuran negara,” katanya.

Jelasnya, latihan yang disediakan turut mendapat pengiktirafan dan sokongan industri, sekali gus membuktikan kepentingan kerjasama antara institusi pendidikan dengan sektor pekerjaan dalam melahirkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan pasaran.

Tambahnya, wanita perlu diberikan ruang lebih luas dan peluang yang adil dalam dunia pekerjaan supaya mereka bukan sahaja memperoleh pekerjaan, malah berpeluang membina kerjaya dengan pendapatan setimpal serta masa depan yang lebih terjamin.

Dalam pada itu, Massila berharap setiap peserta program JELITA bukan sahaja membawa pulang sijil latihan, tetapi turut memperoleh kemahiran dan keyakinan untuk meningkatkan taraf kehidupan.

Terdahulu, program berkenaan turut menyaksikan penyerahan surat tawaran pekerjaan kepada graduan UTeM sebagai usaha menghubungkan latihan kemahiran dengan peluang kerjaya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

553
Kongsi :
Previous post BALAU PECAH 3 REKOD, KINI BURU TAKHTA ASEAN
Next post PRN MELAKA: BN, PAS SEPAKAT GERAK KERJA, KONGSI MANIFESTO SAMA – AB RAUF