KUALA LINGGI PEMANGKIN EKONOMI BIRU, POLITEKNIK RM400 JUTA BAKAL DIBINA

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

TANJUNG BIDARA 27 Oktober – Pembangunan Kuala Linggi sebagai hab pendidikan dan ekonomi biru bakal memperkukuh potensi Parlimen Masjid Tanah menerusi pembinaan kampus baharu Politeknik Melaka bernilai RM400 juta serta pembangunan pelabuhan antarabangsa Kuala Linggi International Port (KLIP).

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembinaan kampus politeknik yang mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan itu dijadual bermula tahun depan, sekali gus melengkapkan ekosistem pendidikan tinggi dan maritim di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pemindahan Politeknik Melaka dari Bandar Melaka ke Kuala Linggi akan memperkukuh rantaian pendidikan sedia ada, sekali gus menjadikan kawasan itu sebagai hab pendidikan.

“Insya-Allah tahun depan akan terbina satu kompleks Politeknik Melaka yang bernilai RM400 juta yang akan memberikan Kuala Linggi sebagai hab pendidikan.

“Kita telah mendapat kelulusan untuk memindahkan Politeknik Melaka daripada Bandar Melaka ke Kuala Linggi. Ini akan melengkapkan rantaian pendidikan kita di Masjid Tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional P134 Parlimen Masjid Tanah yang disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Terbuka Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata, Kuala Linggi mempunyai kelebihan strategik menerusi kewujudan Akademi Laut Malaysia (ALAM) dan Universiti Islam Melaka (UNIMEL) yang menjadi asas kepada pembangunan sektor pendidikan serta latihan profesional.

Menurutnya, pembangunan pendidikan itu turut dilengkapi potensi sektor maritim dan logistik menerusi pembangunan KLIP yang dirancang menjadi antara pemacu ekonomi biru negeri.

Beliau berkata, pembangunan pelabuhan berkenaan berpotensi merancakkan aktiviti perkapalan dan logistik di pesisir Selat Melaka, selain membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Negeri turut mempergiat pembangunan pelancongan di Kuala Linggi menerusi pengenalan Eco Cruise Sungai Linggi yang semakin menarik perhatian pelancong domestik dan antarabangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

276
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: PERBINCANGAN BN MELAKA-MCA POSITIF, BERJAYA LERAI KEBUNTUAN
Next post TANJUNG BIDARA TARIK PELANCONG, HUBUNG DUNIA MELALUI KABEL DASAR LAUT