TANJUNG BIDARA TARIK PELANCONG, HUBUNG DUNIA MELALUI KABEL DASAR LAUT

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

TANJUNG BIDARA 27 Oktober – Tanjung Bidara terus diperkasakan sebagai destinasi pelancongan baharu menerusi pembangunan litar lumba kereta kawalan jauh (RC) pertama di Melaka yang bakal menjadi gelanggang pertandingan peringkat Asia Tenggara bulan depan.

Ketua Menteri merangkap penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan itu merupakan antara usaha memperluas tarikan pelancongan di kawasan berkenaan, sekali gus menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata, litar RC yang kini beroperasi itu sudah menarik perhatian pengunjung dan pelancong dari pelbagai negara, sekali gus membuka peluang kepada Tanjung Bidara untuk mengembangkan sektor pelancongan berasaskan sukan dan rekreasi.

β€œPada bulan depan, kita akan mengadakan pertandingan litar lumba RC pertama peringkat ASEAN di Tanjung Bidara.

β€œPastinya Tanjung Bidara mempunyai satu lagi daya tarikan pelancong dan menjadi tarikan baharu kepada mereka untuk berkunjung ke kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional P134 Parlimen Masjid Tanah yang disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Terbuka Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, Tanjung Bidara turut mempunyai keunikan tersendiri menerusi kewujudan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Karah di Pantai Padang Kemunting, iaitu yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Menurutnya, kemudahan itu menjadi antara aset penting dalam usaha mempelbagaikan produk pelancongan negeri, khususnya berasaskan pemuliharaan hidupan marin dan pendidikan alam sekitar.

Selain pelancongan, beliau turut mendedahkan peranan Tanjung Bidara dalam infrastruktur telekomunikasi negara menerusi kabel dasar laut yang menghubungkan rangkaian internet ke kawasan selatan tanah air.

Katanya, kabel berkenaan bermula dari Pantai Pengkalan Balak dan menjadi sebahagian daripada jaringan infrastruktur komunikasi yang menghubungkan pengguna ke rangkaian internet lebih luas.

β€œRamai yang tidak tahu bahawa kabel dasar laut di kawasan selatan bermula dari Pantai Pengkalan Balak dan menjadi jaringan internet ke seluruh selatan tanah air.

β€œItulah kabel dasar laut yang menghubungkan kita ke dunia ini dan lokasinya berada dalam kawasan DUN Tanjung Bidara,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan pelancongan, pemuliharaan alam sekitar serta infrastruktur telekomunikasi itu mencerminkan potensi Tanjung Bidara yang bukan sahaja tertumpu kepada sektor pelancongan, malah turut mempunyai kepentingan dalam pembangunan infrastruktur negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

181
Kongsi :
Previous post KUALA LINGGI PEMANGKIN EKONOMI BIRU, POLITEKNIK RM400 JUTA BAKAL DIBINA
Next post 104 AHLI PKR TANJUNG BIDARA SERTAI UMNO