AYER LIMAU BAKAL JADI LUBUK REZEKI, 2,000 EKAR KAWASAN INDUSTRI DIBANGUNKAN

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER LIMAU 28 Oktober – Pembangunan kawasan perindustrian baharu seluas 2,000 ekar di Lubok China bakal membuka peluang ekonomi lebih luas kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau dan Parlimen Masjid Tanah termasuk limpahan peluang pekerjaan merentasi sempadan Melaka dan Negeri Sembilan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri akan mewartakan kawasan berkenaan bagi merancakkan pembangunan industri, sekali gus memanfaatkan ekosistem pendidikan dan latihan kemahiran sedia ada di kawasan itu.

Beliau berkata, DUN Ayer Limau mempunyai asas yang baik untuk menyokong keperluan tenaga kerja industri menerusi kewujudan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Kolej TVET MARA dan kolej komuniti.

β€œKerajaan Negeri akan mewartakan 2,000 ekar di Lubok China sebagai kawasan perindustrian baharu. Limpahannya bukan sahaja kepada Melaka, tetapi turut dirasai Negeri Sembilan, khususnya dari sudut peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional P134 Parlimen Masjid Tanah yang disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Terbuka Villa D’Acqua, Kampung Pulau, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata, pembangunan itu berpotensi menghubungkan keperluan tenaga kerja industri dengan institusi pendidikan dan latihan kemahiran, sekali gus menyediakan peluang kepada penduduk setempat untuk mendapatkan pekerjaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, sektor pelancongan di Ayer Limau turut diperkasakan menerusi Cruise Sungai Linggi yang beroperasi dari jeti Paya Lebar bagi meneroka potensi pelancongan berasaskan sungai.

Beliau berkata, usaha pembangunan yang dilaksanakan di kawasan itu perlu diteruskan supaya manfaat ekonomi dan kemudahan yang diwujudkan dapat dinikmati rakyat.

β€œKalau kita tidak berkarya ketika menjadi ahli politik, masakan sokongan dan pulangan ekonomi dapat diberikan semula kepada rakyat. Apa yang sudah kita buat, kita pertahankan,” katanya.

Tambah beliau, kesinambungan pembangunan di DUN Ayer Limau penting bagi memastikan inisiatif yang dirancang dapat diteruskan demi kepentingan penduduk setempat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

177
Kongsi :
Previous post SAMBUNGAN JAJARAN WCE MAMPU PACU MASJID TANAH ANTARA KAWASAN TERMAJU DI MELAKA – ZAHID
Next post LENDU MENITI TRANSFORMASI, RM430 JUTA AKHIRI EPISOD BANJIR