ZAHID PILIH TANJUNG BIDARA, IRINGI AB RAUF PADA HARI PENAMAAN CALON

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

TANJUNG BIDARA 28 Oktober – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi memilih untuk mengiringi calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Sabtu ini.

Ahmad Zahid berkata, meskipun BN bertanding di 21 kerusi DUN, beliau secara khusus memilih Tanjung Bidara sebagai tanda sokongan kepada Ab Rauf yang akan mempertahankan kerusi berkenaan.

Menurutnya, keputusan itu juga sebagai penghargaan terhadap pelbagai usaha pembangunan yang dilaksanakan Ab Rauf bukan sahaja di Masjid Tanah, malah seluruh Melaka.

“31 hari bulan ini hari penamaan calon. Daripada 21 kerusi BN bertanding, saya tak pilih kawasan lain, saya akan mengiringi Datuk Rauf 31 hari bulan ini. Saya balik kampung, saya akan pergi Tanjung Bidara!

“Inilah semangat kita kerana Datuk Rauf telah melakukan macam-macam, bukan untuk Masjid Tanah saja, untuk seluruh negeri Melaka,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional P134 Parlimen Masjid Tanah di Dewan Terbuka Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, semalam.

Ahmad Zahid berkata, Masjid Tanah mempunyai nilai sentimental tersendiri buat beliau yang mempunyai hubungan dengan kawasan itu sejak 49 tahun lalu.

Katanya, walaupun pelancaran jentera BN peringkat negeri sudah diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), beliau tetap memilih untuk turun ke Masjid Tanah bagi menyuntik semangat kepada jentera parti.

“Walaupun kita telah lancarkan jentera di peringkat negeri di MITC, mana mungkin saya tak datang Masjid Tanah? Saya datang Masjid Tanah ini telah 49 tahun,”katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yakin BN mampu mempertahankan kelima-lima kerusi DUN dalam Parlimen Masjid Tanah, iaitu Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu dan Taboh Naning berdasarkan pembangunan yang dibawa kepimpinan negeri.

“Dengan pelbagai kemajuan yang dibawa oleh Datuk Rauf, tidak munasabah bahawa kelima-lima kerusi ini tidak menang di Masjid Tanah. Kita harus bekerja kuat,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka Ke-16.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

202
Kongsi :
Previous post LENDU MENITI TRANSFORMASI, RM430 JUTA AKHIRI EPISOD BANJIR
Next post TABOH NANING TERUS MEMBANGUN, RM36 JUTA ATASI KESESAKAN