TABOH NANING TERUS MEMBANGUN, RM36 JUTA ATASI KESESAKAN

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

TANJUNG BIDARA 28 Oktober – Peruntukan RM36 juta bagi melebarkan jalan menuju ke Tol Simpang Ampat bakal menjadi antara usaha meningkatkan kelancaran trafik dan kemudahan perhubungan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan infrastruktur itu penting bagi menangani masalah kesesakan yang sering dihadapi pengguna jalan raya, khususnya ketika keluar masuk melalui tol berkenaan.

Beliau berkata, Taboh Naning turut mempunyai potensi pembangunan menerusi kewujudan institusi pendidikan tinggi dan latihan pertanian yang boleh menyumbang kepada pembangunan modal insan serta ekonomi setempat.

β€œApabila kita kuat, apabila kita sepakat dan berjaya menterjemahkannya dalam peti undi, kita dapat terus membina pembangunan dan keharmonian di Taboh Naning,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional P134 Parlimen Masjid Tanah yang disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Terbuka Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, selain infrastruktur, tindakan pantas turut diambil bagi memastikan masalah rakyat dapat diatasi antaranya membabitkan kejadian bencana seperti banjir dan cerun runtuh.

Katanya, apabila jambatan terputus akibat banjir, pembinaan jambatan Bailey dilaksanakan bagi membolehkan perhubungan kembali pulih, manakala kerosakan akibat kejadian cerun runtuh dibaiki dalam tempoh singkat.

Beliau berkata, usaha menangani masalah infrastruktur dan memastikan kemudahan awam kembali berfungsi dengan segera merupakan antara aspek penting dalam menjaga kesejahteraan penduduk Taboh Naning.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

876
Kongsi :
Previous post ZAHID PILIH TANJUNG BIDARA, IRINGI AB RAUF PADA HARI PENAMAAN CALON