PRN MELAKA: 5 TAHUN BERKHIDMAT PENUH IKHLAS, TOK HAMEED SERAH RAKYAT MENILAI

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER LIMAU 29 Oktober – Diberi kepercayaan sekali lagi oleh Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer menyerahkan kepada rakyat untuk menilai prestasi dan menentukan sama ada beliau layak meneruskan khidmat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Hameed berkata, pencalonan semula itu bukan sekadar pengiktirafan parti, sebaliknya amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul sebaik mungkin sekiranya terus mendapat mandat pengundi pada 14 November ini.

Katanya, beliau menghargai kepercayaan yang diberikan pucuk pimpinan parti, termasuk Presiden UMNO dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“Syukur alhamdulillah dan saya menganggap ini sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang sekali lagi diberikan oleh pucuk pimpinan parti, presiden dan pimpinan negeri.

“Akhirnya, saya serahkan kembali kepada rakyat untuk menilai dan mengukur sama ada saya layak atau tidak sekali lagi menerajui DUN Ayer Limau pada 14 November ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Ramah Mesra Anak-Anak Syurga DUN Ayer Limau di sebuah kafe, di sini, pada Rabu.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Utama Hamidah Khamis dan hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum.

Dalam pada itu, Hameed berharap persaingan merebut mandat pada PRN kali ini tidak menjejaskan hubungan kekeluargaan dan silaturahim yang dibina dalam kalangan masyarakat sepanjang lima tahun lalu.

Menurutnya, perbezaan pilihan politik tidak seharusnya menjadi punca perpecahan, sebaliknya semangat muafakat perlu terus dipelihara demi keharmonian penduduk.

“Kita perlu teruskan dan jadikan ia satu ikatan silaturahim supaya persaingan dalam memilih pemimpin masyarakat di DUN Ayer Limau sempena pilihan raya negeri tidak menyebabkan masyarakat berpecah,” katanya.

Untuk rekod, Hameed memenangi kerusi DUN Ayer Limau pada PRN Melaka 2021 dengan majoriti 1,085 undi.

Beliau sekali lagi dicalonkan BN bagi mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN Melaka Ke-16, dengan hari pengundian ditetapkan pada 14 November ini dan penamaan calon pada 31 Oktober.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

339
Kongsi :
Previous post BEKALAN TENAGA STABIL KUNCI TARIK PELABURAN KE MELAKA – AB RAUF
Next post PRN MELAKA: ‘BN-PAS SUDAH BERNIKAH, BERKADI’ – AB RAUF