
BEKALAN TENAGA STABIL KUNCI TARIK PELABURAN KE MELAKA – AB RAUF
TANJUNG BIDARA 29 Oktober – Bekalan tenaga yang stabil dan mampan menjadi antara faktor penting dalam meningkatkan keyakinan pelabur untuk memilih Melaka sebagai destinasi pelaburan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sektor tenaga memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan industri, merancakkan aktiviti perniagaan serta memacu pembangunan ekonomi negeri.
Katanya, peranan syarikat janakuasa EDRA Power Holdings Sdn Bhd menerusi operasi Telok Gong Power Station dan EDRA Melaka Power Plant penting dalam memenuhi keperluan bekalan elektrik bagi menyokong aktiviti ekonomi.
“Bekalan elektrik yang stabil dan mampan merupakan antara keperluan penting bagi menyokong pertumbuhan industri.
“Sekali gus dapat merancakkan aktiviti perniagaan serta meningkatkan keyakinan pelabur untuk terus memilih Melaka sebagai destinasi pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) EDRA Power Holdings Sdn Bhd bagi DUN Tanjung Bidara di Villa D’ Acqua, Kampung Pulau, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi dan Presiden EDRA Power Holdings Sdn Bhd, Zhong Xianjue serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Penyandang DUN Tanjung Bidara, Kerajaan Negeri mengalu-alukan komitmen syarikat tersebut untuk terus mengembangkan pelaburan di Melaka, khususnya dalam sektor tenaga yang menjadi antara pemacu penting pertumbuhan industri dan ekonomi negeri.
Katanya, kerjasama antara Kerajaan Negeri dan sektor korporat bukan sahaja penting dalam menyokong pembangunan industri.
Tambahnya, usaha itu dilihat berpotensi membuka lebih banyak ruang kepada pembangunan kepakaran teknikal, latihan kemahiran dan peluang kerjaya untuk anak tempatan.
“Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan komitmen EDRA untuk terus mengembangkan pelaburan di Melaka, termasuk dalam pembangunan kepakaran teknikal, latihan kemahiran serta peluang kerjaya dalam sektor tenaga, khususnya untuk manfaat anak-anak tempatan.
“Penglibatan syarikat dalam pembangunan modal insan penting bagi memastikan rakyat tempatan turut mendapat manfaat daripada perkembangan sektor tenaga dan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


