FELCRA AGIH KEUNTUNGAN RM190.6 JUTA, NAIK 50.2 PERATUS

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 29 Oktober – FELCRA Berhad mengumumkan Keuntungan Boleh Agih Interim 2/2026 berjumlah RM190.6 juta bagi projek peserta di seluruh negara, meningkat RM63.7 juta atau 50.2 peratus berbanding agihan Interim 1 yang diumumkan Julai lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, agihan bagi tempoh Mei hingga Ogos 2026 itu bakal memanfaatkan hampir 72,000 peserta membabitkan 734 projek di seluruh negara.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memaklumkan, pembayaran kepada peserta yang layak akan dilaksanakan secara berperingkat bermula hari ini.

“Jumlah ini meningkat sebanyak RM63.7 juta atau 50.2 peratus berbanding agihan Interim 1 yang diumumkan pada Julai lalu.

“Bagi tempoh Mei hingga Ogos 2026, agihan ini akan memberikan manfaat kepada hampir 72,000 peserta, melibatkan 734 projek di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih Interim 2/2026 Projek-Projek Peserta FELCRA Berhad di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang; Pengerusi FELCRA Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub; Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) Datuk Rozi Mamat; Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Datuk Zawawi Othman serta lain-lain kenamaan.

Ahmad Zahid berkata, prestasi itu perlu menjadi dorongan kepada FELCRA untuk terus meningkatkan produktiviti ladang dan memastikan tanah peserta mampu menjana pulangan lebih baik dalam persekitaran pasaran komoditi yang sentiasa berubah.

Menurutnya, aspek pengurusan ladang, kawalan kos operasi, jadual pembajaan serta penuaian perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan kecuaian yang boleh menjejaskan hasil dan pendapatan peserta.

Beliau berkata, FELCRA juga perlu mengenal pasti punca bagi projek yang mencatatkan pulangan rendah dan menyediakan pelan penambahbaikan berserta sasaran jelas, termasuk merancang penanaman semula bagi projek yang mempunyai pokok berusia.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan kepentingan memberikan penerangan yang mudah difahami kepada peserta mengenai prestasi projek, hasil pengeluaran, kos pengurusan dan kaedah pengiraan agihan keuntungan.

Katanya, penambahbaikan kaedah operasi, kesediaan peserta menerima perubahan serta penggunaan teknologi mampu membantu meningkatkan produktiviti dan menjana pulangan lebih baik pada masa hadapan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada peserta dan warga FELCRA, khususnya petugas lapangan yang memastikan kerja pembangunan, penjagaan serta penuaian terus berjalan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

698
Kongsi :
Previous post SYARIKAT JANAKUASA ELEKTRIK RANCANG PELABURAN RM6 BILION DI TANJUNG BIDARA
Next post BANTUAN DEEPAVALI BUKAN GULA-GULA PRN – AB RAUF