KETUA MENTERI TERIMA IJAZAH DOKTOR PENTADBIRAN PERNIAGAAN UKM

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

TANJUNG BIDARA 29 Oktober – Komitmen terhadap pembelajaran sepanjang hayat mendorong Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh, mencipta pencapaian tersendiri apabila menjadi calon rintis pertama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi program Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA).

Pencapaian itu adalah menerusi sistem APEL.Q (Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu untuk Anugerah Kelayakan Akademik).

Beliau mengikuti program berkenaan di UKM-Graduate School of Business (UKM-GSB) dengan memulakan pengajian pada awal Oktober 2024.

Kajian beliau bertajuk Pengurusan Teknologi Digital Dalam Kalangan Komuniti Kampung Tradisional: Analisis Inisiatif Kampung Digital Melaka memberi tumpuan kepada pengurusan teknologi digital dalam komuniti kampung tradisional.

Kajian itu berpotensi menyumbang kepada pembangunan model Kampung Digital, selain memperkukuh pengurusan komuniti berasaskan teknologi geospatial, khususnya dalam konteks pembangunan digital di Melaka.

“Terima kasih kepada UKM kerana bersama-sama dan membimbing saya dalam menyiapkan kajian berhubung Kampung Digital.

“Kajian ini meningkatkan lagi kualiti sistem penyampaian kepada rakyat, jurnal berhubung kajian Kampung Digital ini akan diterbitkan dan bakal menjadi rujukan generasi akan datang,” kata Ketua Menteri.

Terdahulu Mesyuarat Senat UKM pada 28 Oktober mengesahkan kelayakan dan persetujuan menganugerahkan DBA kepada Dr. Ab Rauf.

Surat rasmi berhubung pengesahan senat itu disampaikan oleh Naib Canselor UKM Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh, dalam perjumpaan di kediaman Ketua Menteri di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Sementara itu Dr. Sufian bagi pihak UKM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ketua Menteri atas kejayaan itu.

“Saya juga mahu mengumumkan bahawa Dr. Ab Rauf adalah calon rintis pertama di Malaysia yang menerima DBA melalui Sistem APEL.Q,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

152
Kongsi :
Previous post TOK HAMEED TURUN PADANG TINJAU PARAS AIR DI AYER LIMAU 
Next post PRN MELAKA: PAS BERTANDING DI PAYA RUMPUT DAN BUKIT KATIL