
PRN MELAKA: BIAR KERJA BERBICARA, BUKAN SEKADAR JANJI – CALON PN AYER KEROH
BUKIT KATIL 30 Oktober – Mengutamakan khidmat kepada rakyat berbanding menabur janji menjadi pendekatan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Datuk Seri Michael Gan, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) itu berkata, beliau bersama parti tidak pernah berhenti turun padang bagi mendekati masyarakat serta memahami keperluan penduduk setempat.
Katanya, menjadi calon bukan sekadar menawarkan janji, sebaliknya menuntut komitmen untuk melaksanakan tanggungjawab dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Janji-janji itu kita tak pandai, tetapi janji kita akan buat kerja, itu yang kita buat,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Pengisytiharan Calon PN PRN Melaka 2026 di Dewan Muallim Haji Abdul Wahid, di sini, pada Khamis.
Michael yang bakal bertanding buat kali kedua di DUN Ayer Keroh berharap rakyat memberikan peluang kepada beliau untuk membawa pelbagai agenda pembangunan dan menangani isu yang membelenggu penduduk di kawasan berkenaan.
Mengulas keutamaan pembangunan Ayer Keroh, beliau berkata, masalah banjir kilat di kawasan perindustrian antara perkara yang perlu diberikan perhatian serius kerana boleh menjejaskan kawasan komersial serta aktiviti perniagaan.
Sehubungan itu, beliau berhasrat untuk mencari penyelesaian terhadap masalah banjir kilat yang masih berlarutan.
Selain itu, Michael juga mahu potensi Ayer Keroh sebagai pintu masuk ke Melaka terus diperkembangkan, khususnya dalam sektor perindustrian dan perniagaan bagi merancakkan ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Katanya, peluang pekerjaan yang diwujudkan hasil pembangunan kawasan itu perlu turut dinikmati penduduk tempatan.
“Peluang kerja itu janganlah kita selalu bagi kerja dengan orang luar, bagilah kerja anak tempatan. Itu yang kita nak,” katanya.
PRN Melaka Ke-16 menyaksikan hari penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober, pengundian awal pada 10 November dan hari pengundian pada 14 November ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


