
PRN MELAKA: TOK AJAK BERDEPAN SAINGAN TIGA PENJURU DI DUN TELOK MAS
TELOK MAS 31 Oktober – Persaingan merebut kerusi N23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 menyaksikan pertembungan tiga penjuru selepas kesemua calon mengemukakan kertas penamaan masing-masing di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Kompleks Komuniti Desa Telok Mas, di sini, hari ini.
Calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi berkenaan Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, tiba di PPC kira-kira jam 9.08 pagi.
Ketibaan beliau diiringi dengan laungan penyokong parti yang membawa bendera dan sepanduk, sekali gus menyemarakkan suasana sekitar pusat penamaan calon berkenaan.
Turut mengemukakan kertas penamaan calon ialah Kapten (B) Mohamad Jaafar mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Muhammad Hazwan Mustafa mewakili Bersama, sekali gus menyaksikan persaingan tiga penjuru di DUN Telok Mas.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Shaiful Hizam Johan kemudian mengumumkan senarai calon yang layak bertanding selepas proses semakan dan penelitian kertas penamaan calon selesai dijalankan.
Keputusan itu, sekali gus mengesahkan persaingan bagi kerusi DUN Telok Mas pada PRN Melaka Ke-16, dengan setiap calon kini mempunyai tempoh berkempen selama 14 hari untuk mendapatkan sokongan pengundi.
Pada PRN Melaka Ke-15, Abdul Razak memenangi kerusi DUN Telok Mas selepas menewaskan calon PN, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen, dalam saingan empat penjuru dengan memperoleh 6,052 undi.
Hari pengundian awal ditetapkan pada 10 November, manakala hari pengundian berlangsung pada 14 November ini.
Secara keseluruhannya, Melaka mempunyai 28 kawasan DUN dan BN bertanding di 23 kerusi untuk pilihan raya kali ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


