
79 CALON BERTANDING PRN MELAKA KE-16 – SPR
AYER KEROH 31 Oktober – Seramai 79 calon mewakili pelbagai parti politik termasuk calon Bebas disahkan layak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 selepas proses penamaan calon ditutup pada jam 10 tadi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, daripada jumlah keseluruhan itu seramai 24 calon adalah dari Pakatan Harapan (PH), diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 23 calon dan Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) pula meletakkan 16 calon.
“Turut bertanding pada PRN Melaka Ke-16 adalah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan tujuh calon, Perikatan Nasional (PN) lima calon dan seorang calon dari Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) serta tiga lagi calon Bebas.
“Tiada kertas pencalonan ditolak sepanjang proses penamaan calon berlangsung, sekali gus menyaksikan kesemua 79 calon yang mengemukakan pencalonan berjaya melepasi proses dan layak bertanding,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka Ke-16 Hari Penamaan Calon yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh, di Menara Persekutuan, di sini hari ini.
Ramlan berkata, dengan selesainya proses penamaan calon, semua calon kini mempunyai tempoh selama 14 hari untuk berkempen bagi meraih sokongan pengundi sehingga jam 11.59 malam, 13 November ini.
“SPR juga telah menubuhkan 28 Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti calon bertanding sepanjang tempoh berkempen.
“Calon-calon yang membayar deposit bahan kempen pilihan raya tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“SPR juga berharap dan mengingatkan agar aktiviti berkempen yang dibenarkan akan berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


