MELAKA PERLUAS PELANCONGAN DESA, BUKA PELUANG PENDAPATAN PENDUDUK

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER LIMAU 31 Oktober – Kerajaan Negeri Melaka giat memperluaskan pembangunan pelancongan luar bandar bagi memastikan manfaat ekonomi sektor berkenaan turut dinikmati masyarakat kampung dan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata pendekatan itu diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada pengusaha inap desa, peniaga makanan tempatan dan pengeluar produk kampung untuk meningkatkan pendapatan.

Katanya, pembangunan sektor pelancongan luar bandar turut memberi ruang kepada golongan muda meneroka peluang ekonomi di kawasan masing-masing.

“Kita mahu pengusaha inap desa mendapat pelanggan, peniaga makanan tempatan menambah jualan, produk kampung meluaskan pasaran, anak muda mempunyai peluang menjana pendapatan di tempat mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GeMMa Desa) Negeri Melaka 2026 di Dewan FELCRA Berhad Ramuan China, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap calon Barisan Nasional (BN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, usaha itu selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang menekankan pembangunan inklusif tanpa mengira lokasi penempatan penduduk.

Menurutnya, penduduk kawasan desa juga berhak menikmati kemudahan, peluang ekonomi dan manfaat pembangunan sebagaimana masyarakat di kawasan bandar.

Beliau berkata, selain pembangunan pelancongan, Kerajaan Negeri turut melaksanakan inisiatif Kampung Digital untuk memudahkan urusan alamat, perkhidmatan penghantaran serta akses bantuan kecemasan kepada masyarakat desa.

Katanya, pelbagai inisiatif yang digerakkan kerajaan negeri bermatlamat memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan dalam pembangunan Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

207
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: CALON TERMUDA BERUSIA 24 TAHUN
Next post PRN MELAKA: BN TOLAK ‘GUTTER POLITIC’ DI SUNGAI UDANG