
PRN MELAKA: SEJAK 2005 DEKATI RAKYAT, BAN HONG MAHU PACU MASA DEPAN KLEBANG
TANJUNG BIDARA 1 November – Bermula dengan penglibatan dalam khidmat masyarakat pada 2005, calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong mahu meneruskan usaha pembangunan di kawasan itu, termasuk memperluas potensi ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Beliau berkata, pengalaman mendekati masyarakat selama lebih dua dekad membolehkannya memahami keperluan serta cabaran penduduk, sekali gus menjadi asas dalam merancang pembangunan yang lebih menyeluruh sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Menurutnya, antara tumpuan yang mahu diberi perhatian termasuk memperkukuh kemudahan pertanian, menambah baik infrastruktur dan perumahan rakyat serta mengembangkan sektor pelancongan yang berpotensi menjadi pemangkin ekonomi setempat.
“Hasrat saya adalah untuk membawa Klebang ke satu tahap yang lebih tinggi supaya kawasan ini lebih menarik, lebih dinamik dan warga DUN Klebang mendapat manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas perancangan ekonomi, Ban Hong berkata, potensi sektor pelancongan perlu terus dimanfaatkan, selain menarik pelaburan baharu termasuk dalam industri pembuatan kapal yang berpotensi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia.
Katanya, pembangunan kawasan itu juga perlu mengambil kira keperluan semua lapisan masyarakat termasuk pesawah, nelayan, wanita dan orang kurang upaya (OKU), selain memperluas kemudahan sukan serta rekreasi.
Mengimbas perjalanan khidmatnya di Klebang, beliau berkata penglibatannya bermula pada 2005 menerusi Biro Bantuan Guaman sebelum memegang beberapa tanggungjawab lain, termasuk sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pegawai khas kepada wakil rakyat serta Exco Kerajaan Negeri.
Pengalaman itu, katanya, membolehkannya memahami isu penduduk sehingga ke peringkat akar umbi, malah hubungan yang terjalin sepanjang tempoh berkenaan disifatkannya seperti sebuah keluarga.
“Bagi saya, hubungan dengan warga DUN Klebang ini seperti sebuah keluarga. Ada anak-anak yang dahulu kita lihat masih bersekolah, sekarang sudah bekerja dan berkeluarga,” katanya.
Beliau berharap penduduk terus memberi peluang kepadanya untuk meneruskan usaha pembangunan yang dirancang, selain membawa lebih banyak manfaat kepada masyarakat di kawasan berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


