
PRN MELAKA: JANGAN SABOTAJ PARTI, TOK RAUF INGATKAN JENTERA BN
PANTAI KUNDOR 1 November – Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak melakukan sabotaj ke atas parti sehingga menjejaskan peluang dalam memastikan kemenangan calon yang diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, semua anggota parti perlu mengetepikan kepentingan peribadi serta menerima keputusan pucuk pimpinan berhubung pemilihan calon demi kepentingan perjuangan bersama.
“Jadi, saya nak ingatkan lagi sekali. Kerja penuh dengan semangat setia kawan. Bekerja, mestilah kita menunjukkan bahawa kita ada semangat silaturahim yang baik. Jangan kita sabotaj parti kita.
“Esok kalau kalah, kita parah. Jadi kita tak mampu kalah lagi sekali. Kita kena bangkit dengan penuh semangat Barisan Nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada kunjungan ke Bilik Gerakan BN Pantai Kundor di Taman Tangga Batu Perdana, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi BN Parlimen Tangga Batu, Datuk Rais Yasin; calon BN DUN Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim serta kenamaan lain.
Mengulas mengenai pemilihan calon, beliau berkata, setiap individu sememangnya mempunyai cita-cita untuk menjadi wakil rakyat, namun keputusan akhir perlu dihormati kerana pemilihan dibuat berdasarkan kriteria dan penilaian parti.
“Saya tak nafikan semua ada cita-cita, nak jadi wakil rakyat. Semua orang cita-cita nak jadi calon. Tapi kalau nak dapat, pasrah, sebab ini bukan hak milik kita, hak milik parti.
“Parti ada kriteria dan cara untuk menilai. Sabar. Saya hanya dapat jadi calon ketika umur saya 60 tahun. Saya tak bertanding ketika umur Rais. Saya dapat menjadi calon umur saya 60 tahun. Dapat jadi Ketua Menteri umur 62 tahun.
“Jadi, kalau nak fikir umur 40 tahun, 30 tahun sedih tak dapat jadi calon, habis saya ini macam mana? Saya tetap istiqamah dengan perjuangan. Kalau rezeki itu tak ke mana, kalau tetap hak kita, kita akan jadi hak kita. Kalau tak dapat, reda,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut mengingatkan jentera BN supaya memastikan gerak kerja bersama rakan strategik, PAS berjalan dengan baik bagi memperkukuh kerjasama menghadapi PRN kali ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


