
PRN MELAKA: ADUAN RAKYAT JADI PANDUAN KERAJAAN NEGERI RANGKA DASAR MASA DEPAN
TELOK MAS 1 November – Suara dan permasalahan rakyat peringkat akar umbi perlu menjadi antara asas utama Kerajaan Negeri dalam menentukan hala tuju serta merangka dasar pembangunan Melaka pada masa depan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, maklumat yang diperoleh menerusi pendekatan turun padang seperti program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT) penting bagi memastikan dasar Kerajaan Negeri tidak hanya dirangka berdasarkan perancangan di atas kertas, sebaliknya mengambil kira keperluan sebenar masyarakat.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata, wakil rakyat memainkan peranan penting sebagai penghubung yang membawa suara penduduk kepada kerajaan supaya setiap isu dikenal pasti dapat diteliti dan diberikan penyelesaian sewajarnya.
“Prinsip itu menjadi antara asas pelaksanaan program WRUR yang membolehkan kerajaan mengenal pasti kira-kira 4,800 aduan dan permasalahan masyarakat, dengan 75 peratus daripadanya berjaya diselesaikan.
“Menerusi pendekatan ini, Kerajaan Negeri dapat memperoleh gambaran lebih menyeluruh mengenai keperluan masyarakat sebelum menentukan tindakan serta dasar yang bersesuaian demi memastikan pembangunan negeri terus memberi manfaat kepada rakyat.
“Kita kena tahu apa masalah rakyat, kita kena tahu apa keperluan rakyat, kita kena dengar apa rakyat bercakap dan sampaikan kepada saya untuk saya menggaris pandukan dasar yang boleh dibuat Kerajaan Negeri pada masa depan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau persediaan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) di DUN Telok Mas, di sini, hari ini.
Ab Rauf berkata, pendekatan itu turut memperlihatkan kepentingan seseorang calon memahami kehidupan masyarakat terlebih dahulu sebelum diberikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
“Pertama, wakil rakyat mesti jadi rakyat dulu, baru boleh jadi wakil rakyat,” katanya.
“Seseorang wakil rakyat tidak boleh hanya bergantung kepada laporan atau maklumat yang diterima, sebaliknya perlu turun sendiri ke lapangan bagi mendengar keluhan, memahami keperluan dan mengenal pasti masalah penduduk,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


