
PRN MELAKA: KAMPUNG SUNGAI PETAI DEKAT DI HATI AZRIL
REMBIA 2 November – Kampung Sungai Petai mempunyai tempat istimewa di hati calon nombor dua Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Ahmad Norazril Abdul Aziz, memandangkan kawasan itu merupakan kampung halaman tempat beliau membesar.
Justeru, kunjungan ziarah kasih yang dilaksanakan di kampung berkenaan bukan sekadar sebahagian daripada gerak kerja kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, malah menjadi peluang untuk beliau mendekati masyarakat yang mempunyai hubungan kekeluargaan dan sejarah tersendiri dengannya.
Ahmad Norazril berkata, hubungan yang terjalin sejak beberapa generasi itu menjadikan Kampung Sungai Petai sentiasa dekat di hatinya, sekali gus mendorong beliau memberi perhatian kepada keperluan penduduk setempat.
Menurutnya, antara perkara yang diberi perhatian menerusi kunjungan itu ialah kebajikan warga emas dan penduduk yang berdepan masalah kesihatan, termasuk keperluan mereka untuk mendapatkan kemudahan pergerakan.
“Sebahagian penduduk yang kita ziarahi terdiri daripada warga emas yang mempunyai masalah kesihatan termasuk diabetes. Jadi, keperluan dan kebajikan mereka perlu diberikan perhatian,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Kampung Sungai Petai, di sini, hari ini.
Beliau turut berkata, pihaknya sedang merancang keperluan pengangkutan bagi membantu golongan berkenaan ke pusat mengundi pada hari pengundian PRN Melaka, 14 November ini.
“Jadi, kita aturkan kenderaan untuk mengambil mereka pada hari mengundi nanti supaya mereka tidak tertinggal dan dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.
Katanya, pendekatan turun padang dan bertemu penduduk secara bersemuka akan terus menjadi antara tumpuannya sepanjang kempen bagi mendengar sendiri keperluan serta permasalahan masyarakat di DUN Rembia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


