
PRN MELAKA: BN TIDAK JANJI BULAN BINTANG, SERAH RAKYAT NILAI REKOD CEMERLANG
TANJUNG BIDARA 2 November – Barisan Nasional (BN) Melaka menyerahkan kepada rakyat untuk menilai rekod perkhidmatan Kerajaan Negeri sepanjang tempoh pentadbiran sebelum membuat keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, BN tidak berhasrat menabur janji baharu sepanjang tempoh berkempen, sebaliknya mahu rakyat menilai usaha dan khidmat yang telah dilaksanakan menerusi gagasan Melaka Sayang Rakyat.
Menurutnya, gagasan itu bukan sekadar pendekatan bermusim ketika pilihan raya, sebaliknya menjadi landasan Kerajaan Negeri dalam menyantuni serta menangani aduan dan permasalahan rakyat sejak dua tahun lalu.
“Melaka Sayang Rakyat ini adalah satu konsep menyantuni rakyat, bukan kerana pilihan raya. Kerana kita berkhidmat untuk rakyat, yang telah kita sempurnakan sejak dua tahun dulu. Yang mana setiap masalah rakyat kita santuni dan kita selesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Sahabat Setia Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Melaka Bersama Ketua Menteri Melaka Parlimen Masjid Tanah di Villa d’Acqua, Kampung Pulau, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi MUBARAK Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman; calon BN DUN Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah; calon BN DUN Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf yang juga calon nombor dua bagi kerusi DUN Tanjung Bidara berkata, pelbagai isu di peringkat akar umbi telah diberi perhatian sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), justeru tempoh kempen kali ini menjadi ruang untuk rakyat menilai usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.
“Jadi kita dalam kempen pilihan raya dua minggu ini tidak perlu lagi menjanjikan bulan dan bintang. Kita menyerahkan kepada rakyat untuk menghakimi apa yang telah kita lakukan untuk mereka di bumi Melaka ini,” katanya.
Ab Rauf turut memaklumkan lebih 4,800 aduan rakyat telah disantuni sepanjang tempoh pentadbirannya, dengan kira-kira 75 peratus daripadanya berjaya diselesaikan berdasarkan maklum balas yang diterima daripada Jawatankuasa Keselamatan Kampung.
“Sepanjang perkhidmatan kita telah dapat mengetuk pintu hati rakyat yang telah kita santuni lebih daripada 4,800 aduan, dan kita telah berjaya menyelesaikan 75 peratus daripada aduan-aduan tersebut.
“Terima kasih rakyat Melaka, saya sayang Melaka dan saya sayang rakyat Melaka. Terima kasih, kita berjuang demi rakyat untuk rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


