
PRN MELAKA: BEKAS WAKIL RAKYAT, VETERAN UMNO GABUNG TENAGA BANTU KEMPEN BN – AB RAUF
TANJUNG BIDARA 2 November – Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) dan veteran UMNO turut menggerakkan usaha kempen Barisan Nasional (BN) menerusi pendekatan tersendiri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, penglibatan bekas wakil rakyat dan veteran parti itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha menghimpunkan pengalaman serta semangat perjuangan mereka untuk menghadapi pilihan raya pada 14 November ini.
Menurutnya, komitmen golongan berkenaan amat dihargai, lebih-lebih lagi apabila sebahagian daripada mereka masih aktif menyumbang walaupun sudah mencecah usia 80 tahun.
“Program ini saya meraikan program yang dibawa oleh bekas wakil rakyat ataupun MUBARAK bersama dengan rakan-rakan MUBARAK, dan mengumpulkan semua veteran-veteran UMNO untuk menjadikan satu gabungan dalam menuju PRN Melaka pada 14 hari bulan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Sahabat Setia MUBARAK Melaka Bersama Ketua Menteri Melaka Parlimen Masjid Tanah di Villa d’Acqua, Kampung Pulau, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi MUBARAK Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman; calon BN DUN Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah; calon BN DUN Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf yang juga calon nombor dua bagi kerusi DUN Tanjung Bidara berkata, pengalaman serta kesetiaan golongan veteran itu boleh menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk memahami nilai perjuangan dan kesinambungan kepimpinan parti.
Katanya, penglibatan mereka juga bertujuan menyampaikan pengalaman kepada generasi pelapis supaya semangat perjuangan dapat diteruskan.
“MUBARAK ini adalah merupakan satu inspirasi dalam perjuangan mereka sehingga hari mereka bersara, dan meneruskan perjuangan walaupun telah berusia 80 tahun. Tujuannya ialah untuk mewarisi perjuangan ini kepada generasi yang akan datang dan memahami erti sebuah perjuangan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, jentera MUBARAK dan kelompok pesara turut bergerak di peringkat akar umbi menerusi pendekatan tersendiri, termasuk mendekati pengundi dalam lingkungan jaringan mereka.
“Jentera MUBARAK bergerak aktif mengikut cara mereka sendiri dan juga kluster-kluster pesara ini disantuni oleh MUBARAK untuk mengeluarkan pengundi-pengundi pada mereka-mereka yang berada dalam lingkungan MUBARAK,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


