
PRN MELAKA: AB RAUF BONGKAR RAHSIA TERSIRAT BENDERA UMNO
TANJUNG BIDARA 2 November – Bendera UMNO bukan sekadar lambang parti, sebaliknya mempunyai makna dan tafsiran sejarah yang dikaitkan dengan perjuangan Melayu serta gagasan perpaduan Nusantara.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, pemahaman terhadap simbol dan warna pada bendera berkenaan penting bagi membolehkan ahli serta penyokong parti menghayati sejarah dan asas perjuangan yang dibawa sejak penubuhannya pada 1946.
Menurutnya, warna merah dan putih pada bendera itu dikaitkan dengan Gagasan Melayu Raya yang membawa aspirasi penyatuan masyarakat Melayu di Nusantara serta perjuangan membebaskan rantau berkenaan daripada penjajahan kuasa Barat.
“Merah putih inilah lambang sebuah perjuangan Nusantara membebaskan Malaysia, Tanah Melayu, Indonesia, Selatan Thailand dan Selatan Filipina daripada penjajahan,” katanya ketika berucap pada Program Sahabat Setia Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Melaka Bersama Ketua Menteri Melaka Parlimen Masjid Tanah di Villa d’Acqua, Kampung Pulau, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi MUBARAK Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman; calon BN DUN Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah; calon BN DUN Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Ab Rauf turut menghuraikan tafsiran terhadap simbol lain pada bendera UMNO, termasuk warna kuning yang menurutnya melambangkan institusi raja sebagai pelindung Islam, manakala keris hijau dikaitkan dengan kesucian agama Islam.
Beliau turut memberikan tafsiran terhadap kedudukan keris yang terhunus dari kiri ke kanan sebagai lambang kuasa rakyat dan peranan perjuangan parti dalam membela nasib masyarakat.
“Tetapi kalau rakyat menderita, raja menderhaka, maka keris UMNO akan terhunus untuk membela rakyat dan membela bangsanya. Keris ialah kuasa rakyat,” katanya.
Malah, beliau turut berkongsi pengalamannya bertemu tokoh akademik, Allahyarham Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menurutnya mempunyai kaitan dengan sejarah penciptaan bendera UMNO.
Jelas Ab Rauf, pertemuan itu memberi peluang kepadanya mendengar sendiri penjelasan mengenai makna dan falsafah yang terkandung pada lambang perjuangan parti berkenaan.
Beliau berkata, pemahaman terhadap sejarah tersebut wajar diwariskan kepada generasi muda supaya mereka bukan sahaja mengenali lambang parti, malah memahami nilai perjuangan yang dibawanya.
“Hari ini dibongkarkan rahsia perjuangan UMNO, moga kita dapat mewariskan perjuangan ini pada anak cucu kita nanti,” katanya.
Beliau berharap perkongsian sejarah dan falsafah di sebalik bendera berkenaan dapat menyemarakkan kefahaman ahli parti terhadap perjalanan perjuangan UMNO serta kepentingan mewariskannya kepada generasi akan datang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


