
PRN MELAKA: AB RAUF LIHAT MELAKA LANDASAN KEBANGKITAN BN KE PUTRAJAYA
TANJUNG BIDARA 2 November – Kestabilan politik di Melaka mahu dijadikan model pentadbiran Barisan Nasional (BN) untuk diperluaskan ke peringkat nasional sebagai sebahagian daripada usaha parti itu kembali menerajui Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan pentadbiran di negeri ini dilihat mampu menjadi contoh kepada negeri lain, sekali gus membuka ruang kerjasama lebih luas dengan rakan politik.
Menurutnya, kekuatan yang dibina di Melaka turut menarik perhatian pihak lain untuk menjalinkan hubungan dan kerjasama dengan kepimpinan negeri.
“Atas kekuatan kita di Melaka ini, ramai nak berbaik dengan kita. Kita terima tanpa prasangka kerana apa, kita bina Melaka, kita buktikan bahawa Melaka boleh menjadi contoh yang lebih baik daripada tempat lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sahabat Setia Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Melaka Bersama Ketua Menteri Melaka Parlimen Masjid Tanah di Villa d’Acqua, Kampung Pulau, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi MUBARAK Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman; calon BN DUN Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah; calon BN DUN Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, keputusan PRN Melaka kali ini turut dilihat penting dalam menentukan sejauh mana sokongan rakyat terhadap BN, selain menjadi petunjuk kepada hala tuju perjuangan parti di peringkat nasional.
“Semua orang akan melihat Melaka ini dalam gambaran untuk kita menang dan menuju jalan lurus ke Putrajaya. Alhamdulillah, yang ditunggu telah pun tiba, yang dinanti telah pun sampai,” katanya.
Beliau turut menyifatkan sokongan yang ditunjukkan jentera BN sejak hari penamaan calon sebagai perkembangan positif, justeru mereka perlu meneruskan usaha mendekati pengundi sehingga hari pengundian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


