
PRN MELAKA: ‘ALONG’ MAHU SEDIA TANDAS SELESA UNTUK 24 RUMAH ORANG ASLI
ASAHAN 2 November – Keperluan kediaman lebih selesa, kemudahan tandas yang selamat serta isu kepadatan penghuni dalam sesebuah rumah antara perkara yang terus diberi perhatian bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat Orang Asli di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.
Calon Barisan Nasional DUN Asahan, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan berkata, sebanyak 24 rumah masyarakat Orang Asli di kawasan itu mempunyai kemudahan tandas yang uzur dan tidak lagi boleh digunakan, sekali gus memerlukan pembinaan tandas baharu.
“Untuk tahun hadapan, sekiranya terus diberikan mandat, kita mahu menyelesaikan pula masalah tandas ini.
“Kediaman mereka bukan tiada tandas, tetapi tandas sedia ada sudah tidak boleh digunakan kerana terlalu lama. Jadi, 24 rumah ini memerlukan tandas baharu.
“Sebelum ini, kita sudah pun menyelesaikan kerja-kerja baik pulih 18 buah kediaman yang berada dalam keadaan usang dan daif,” katanya yang juga calon nombor 1 DUN Asahan ketika ditemui Melaka Hari Ini, baru-baru ini.
Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, isu kediaman yang dihuni terlalu ramai ahli keluarga turut memerlukan perhatian apabila terdapat rumah yang menempatkan sehingga tiga atau empat keluarga di bawah satu bumbung.
Menurutnya, perkara itu akan diketengahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) supaya isu berkenaan dapat diberi perhatian dan bantuan sewajarnya dapat disalurkan menerusi agensi berkaitan.
“Terdapat ramai lagi masyarakat Orang Asli yang tinggal serumah beramai-ramai, malah ada yang menghuni tiga hingga empat keluarga dalam satu rumah.
“Untuk itu, kita mahu meminta JKM mengetengahkan isu ini supaya agensi berkaitan dapat membantu.
“Kebajikan dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli ini sentiasa menjadi fokus agar mereka dapat menikmati kehidupan lebih selesa serta berkualiti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


