TOK RAUF TEKAD PERTAHAN MARUAH BANGSA, WARISAN PERJUANGAN UMNO DITERUSKAN

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

TANJUNG BIDARA 3 November – Perjuangan membela nasib dan mempertahankan maruah bangsa perlu diteruskan demi memastikan generasi akan datang tidak terpinggir di tanah air sendiri.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, UMNO sejak penubuhannya konsisten memperjuangkan kepentingan bangsa dan berusaha mengubah nasib masyarakat menerusi pelbagai pendekatan.

Menurutnya, kesinambungan perjuangan itu juga menjadi antara perkara penting yang perlu diberikan perhatian menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

“Hakikatnya apa yang saya nak bagi tahu, kita bukan bangsa berdagang di kampung sendiri. Kalau silap memilih, tak ajar anak-anak, kita akan terpinggir di bumi kita sendiri.

“Apa yang kita perjuangkan ini bukan untuk kita tetapi anak cucu kita,” katanya.

Beliau yang juga calon nombor dua bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N02 Tanjung Bidara berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Kempen DUN Tanjung Bidara di Taman Jeram Perdana, di sini, malam tadi.

Ab Rauf yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Negeri Melaka berkata, sejarah negeri itu yang pernah berada di bawah pemerintahan kuasa penjajah selama 446 tahun wajar dijadikan pengajaran supaya masyarakat tidak melupakan asal usul dan kegemilangan bangsa.

Menurutnya, Melaka yang diasaskan sekitar 1400 pernah muncul sebagai pelabuhan perdagangan tersohor selain menjadi pusat perkembangan agama dan bahasa sebelum jatuh ke tangan Portugis.

Katanya, sejarah kegemilangan Melaka perlu terus diperkasakan dan difahami generasi muda agar mereka mengenali identiti serta kehebatan bangsa sendiri.

“Banyak sejarah kita yang dipesongkan oleh penjajah. Tetapi anak Kampung Pulau ini mahu membetulkan semula sejarah Melaka.

“Sebab itu selepas mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri saya laungkan slogan ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ kerana sejarah yang ditulis sewaktu zaman Belanda dipesongkan.

“Mereka tidak mahu kita tahu bahawa kita ini adalah satu bangsa yang hebat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

800
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: ‘ALONG’ MAHU SEDIA TANDAS SELESA UNTUK 24 RUMAH ORANG ASLI