PRN MELAKA: ASAHAN SEJAHTERA SATUKAN MASYARAKAT PELBAGAI KAUM

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

ASAHAN 6 November – Memupuk perpaduan dan mengeratkan hubungan masyarakat berbilang kaum ibarat sebuah keluarga menjadi antara teras pendekatan Asahan Sejahtera yang diperkenalkan Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan sejak lima tahun lalu.

Slogan itu diangkat dalam memastikan keharmonian serta kesejahteraan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan terus terpelihara.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Asahan itu berkata, pendekatan itu diperkenalkan selepas beliau diberi mandat pada penggal ke-15 lalu dengan memberi penekanan terhadap hubungan erat antara masyarakat Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

Menurut penyandang kerusi DUN Asahan itu, kemesraan serta sikap saling menghormati tanpa mengira latar belakang kaum merupakan kekuatan masyarakat setempat yang perlu terus dipertahankan.

“Melalui Asahan Sejahtera, saya mahu melihat masyarakat Melayu, Cina, India dan Orang Asli di DUN Asahan ini hidup ibarat sebuah keluarga, saling mengenali dan menjalinkan hubungan yang mesra.

“Alhamdulillah, masyarakat di sini sememangnya ramah mesra dan kita mahu suasana harmoni ini terus dikekalkan,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid An-Nur, Felda Bukit Senggeh, di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Fairul Nizam yang juga calon nombor 1 N10 Asahan berkata, pendekatan Asahan Sejahtera turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kemudahan asas bagi memastikan penduduk menikmati pembangunan yang lebih baik.

Katanya, antara pencapaian yang dilaksanakan ialah pembinaan 13 menara telekomunikasi bagi mengatasi masalah capaian komunikasi yang sebelum ini menjadi antara kekurangan di kawasan berkenaan.

Tidak hanya itu, beliau juga turut merealisasikan pembinaan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bagi memudahkan penduduk yang sebelum ini terpaksa ke lokasi lebih jauh untuk mengeluarkan wang.

“Usaha memperluas kemudahan asas ini turut merangkumi penyediaan stesen minyak di kawasan Kampung Mantai yang kini dalam pembinaan.

“Tidak hanya itu, sebuah lagi stesen minyak sedang diusahakan di kawasan Pekan Asahan bagi mengurangkan kebergantungan penduduk untuk mendapatkan keperluan asas itu di lokasi yang lebih jauh iaitu terletak kira-kira 20 kilometer daripada penempatan penduduk,” katanya.

Jelasnya, usaha itu merupakan sebahagian daripada komitmen untuk memastikan pembangunan di Asahan dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat, sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk.

Selain itu, Fairul Nizam berkata, aspek pendidikan turut diberi perhatian bagi memastikan anak-anak di kawasan luar bandar mendapat peluang dan kemudahan pembelajaran setanding dengan pelajar di kawasan bandar.

Katanya, usaha membantu sekolah serta pelajar di kawasan itu menunjukkan perkembangan positif apabila semakin ramai anak Asahan berjaya memperoleh tawaran melanjutkan pengajian ke universiti.

Selain pendidikan, beliau berkata, Asahan turut melahirkan atlet berbakat yang berjaya mengharumkan nama kawasan itu apabila mewakili negara dalam pelbagai kejohanan sukan.

“Antaranya atlet angkat berat, bola jaring dan lempar lembing yang pernah mewakili negara ke Sukan SEA serta Sukan Remaja Antarabangsa,” tambahnya.

Beliau berharap pencapaian dalam bidang pendidikan dan sukan, selain semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum, dapat terus menjadi pemangkin kepada pembangunan Asahan yang lebih baik pada masa hadapan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

460
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: UMNO MAHU PASTIKAN PAS DAPAT MANDAT RAKYAT DI BUKIT KATIL
Next post PRN MELAKA : KERJASAMA BN-PN SATU RAHMAT BUAT MELAKA – AB RAUF