
PELAJAR TVET BANGGA PILIH BIDANG KEMAHIRAN, YAKIN MASA DEPAN LEBIH CERAH
TANJUNG BIDARA 5 November – Persepsi terhadap bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang semakin positif meningkatkan keyakinan pelajar terhadap masa depan mereka.
Bagi pelajar Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin (KVDSMZ) Nazmi Aqil Badrul Hisham, 19, perkembangan itu membuatkannya lebih yakin memilih bidang automotif dengan impian menjadi juruteknik selepas tamat pengajian.
Katanya, pendedahan menerusi Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET MARA Negeri Melaka 2026 memberinya gambaran lebih jelas mengenai kepentingan bidang kemahiran serta peluang yang boleh diterokai pada masa hadapan.
“Dulu pelajar TVET dipandang rendah, tetapi sekarang nilai bidang ini semakin tinggi. Saya rasa masa depan pelajar TVET lebih terjamin,” katanya.
Nazmi Aqil berkata demikian ditemui Melaka Hari Ini pada Jelajah Pendidikan Tinggi dan TVET MARA Negeri Melaka 2026 Peringkat Masjid Tanah yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di Villa D’Acqua, di sini, hari ini.

Sementara itu rakan, Alya Maisarah Abdullah, 19, pula berkata program itu membuka perspektif baharu apabila mengetahui TVET bukan hanya tertumpu kepada kolej vokasional, malah menawarkan peluang melanjutkan pengajian di universiti atau institusi lain.
Menurutnya, kejayaan alumni yang dipaparkan sepanjang program itu turut membakar semangatnya untuk terus belajar bagi merealisasikan impian membuka syarikat sendiri dan menjadi usahawan berjaya.
“Kalau mereka boleh berjaya, kenapa saya tidak boleh. Saya perlu terus belajar untuk mencapai kejayaan seperti mereka.
“Saya berbangga memilih laluan TVET kerana semakin menyedari bidang ini mempunyai peluang yang luas dan bukan satu keputusan yang perlu disesali,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

