PRN MELAKA: EPISOD LOMPAT PARTI TIDAK AKAN BERULANG DI REMBIA – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

REMBIA 5 November – Jika Barisan Nasional (BN) diberi mandat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, sejarah wakil rakyat atau penyandang DUN tersebut yang
meninggalkan parti asal dan menyertai parti lain menjadi antara perkara yang diberi jaminan tidak akan berlaku lagi.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu disuarakan dengan penuh keyakinan apabila melihat sokongan positif terhadap gerak kerja jentera BN di DUN Rembia.

Ab Rauf turut menegaskan, sejarah lalu tidak akan berulang, sambil menyifatkan perkara yang sudah berlaku tidak perlu terus dikenang memandangkan individu terbabit kini sudah menyertai parti lain.

“Sejarah itu tidak akan berulang. Asal kapas menjadi benang, daripada benang menjadi kain. Barang lepas jangan dikenang, dia pun dah masuk parti lain.

“Landskap politik semasa perlu dilihat ke hadapan dan tidak terus dibayangi perkara yang sudah berlaku di DUN Rembia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat ke Bilik Gerakan DUN Rembia di Sungai Petai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan; Calon BN DUN Rembia Ahmad Norazril Abd Aziz dan Pengerusi MCA Bahagian Alor Gajah Datuk Wira Koh Nai Kwong serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, beliau menerima maklum balas positif daripada pengundi dan masyarakat setempat sepanjang tempoh kempen yang memasuki hari keenam itu terhadap penerimaan BN.

“Daripada respons pengundi dan juga masyarakat Rembia ini, insya-Allah DUN Rembia ini dilihat berpotensi menyumbang satu kerusi untuk Barisan Nasional Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

358
Kongsi :
Previous post KELUHAN RAKYAT BUKAN BEBAN, SEBALIKNYA AMANAH – NADARAJAH
Next post PRN MELAKA: BN PERINCI GERAK KERJA PDM, SASAR PENGUNDI KELUAR AWAL