
PENERIMAAN POSITIF PENGUNDI SUNTIK SEMANGAT CALON BN REMBIA
REMBIA 5 November – Penerimaan positif masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia terhadap calon Barisan Nasional (BN) menjadi antara perkembangan memberangsangkan sepanjang enam hari kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Menurut Calon BN N06 DUN Rembia Ahmad Norazril Abd Aziz berkata, setakat hari keenam perjalanan kempennya berlangsung dengan baik, selain menerima maklum balas positif daripada pengundi dan penyokong parti.
Ahmad Norazril yang juga calon nombor 2 berkata, kehadiran Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh ke kawasan tersebut menerusi lawatan bersama jentera pilihan raya turut menyuntik semangat kepada beliau serta petugas parti untuk mempergiat usaha mendekati pengundi.
“Setakat hari ini, perjalanan kempen berjalan dengan baik dan penerimaan pengundi serta penyokong sepanjang enam hari berkempen dengan pelbagai program dilaksanakan parti juga diterima sangat positif.
“Kehadiran pucuk pimpinan BN ke kawasan ini bukan satu tekanan kepada saya sebaliknya memberikan semangat kepada kami dan jentera untuk terus bekerja dengan lebih kuat seterusnya memberikan kemenangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Lawatan Pengerusi BN Melaka merangkap Pengarah Pilihan Raya BN Negeri Melaka ke Bilik Gerakan DUN Rembia di Sungai Petai, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan dan Pengerusi MCA Bahagian Alor Gajah Datuk Wira Koh Nai Kwong serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut mengenai gerak kerja jentera parti di DUN Rembia, Ahmad Norazril berkata, jentera BN kini memberi tumpuan kepada usaha menggerakkan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian selain meyakinkan mereka untuk memberikan sokongan kepada parti itu.
“Suka juga untuk saya menyifatkan kerjasama antara jentera di peringkat akar umbi sebagai antara kekuatan dalam memastikan gerak kerja kempen di Rembia ini berjalan lancar dan semoga BN peroleh kemenangan di sini,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


