PRN MELAKA: EMPAT FELDA KUBU KUAT BN DI ALOR GAJAH

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

REMBIA 5 November – Empat kawasan Felda dalam Parlimen Alor Gajah dianggap sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan mampu menyumbang kepada kemenangan calon parti itu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan berkata, pengundi Felda berkenaan kekal bersama BN ketika parti itu berdepan gelombang perubahan politik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 2018.

Katanya, empat Felda tersebut membabitkan Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh, Felda Tun Ghafar Hutan Percha, Felda Tun Ghafar Menggong dan Felda Tun Ghafar Machap.

“Kerjasama strategik bersama PAS pada PRN kali ini diharap akan memperkukuhkan lagi kedudukan BN di Parlimen Alor Gajah.

“Kekuatan peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) kekal tidak pernah tewas ketika PRU pada 2018 dan 2021, membuktikan kawasan Felda terus menjadi penyumbang penting kepada kemenangan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Lawatan Pengerusi BN Melaka merangkap Pengarah Pilihan Raya BN Negeri Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh ke Bilik Gerakan N06 DUN Rembia di Sungai Petai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Calon BN DUN N.06 Rembia Ahmad Norazril Abd Aziz dan Pengerusi MCA Bahagian Alor Gajah Datuk Wira Koh Nai Kwong serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam yang juga calon BN bagi DUN N.10 Asahan berkata, pengalaman pilihan raya sebelum ini di PRN Negeri Sembilan turut memperlihatkan bagaimana penyatuan politik mampu mempengaruhi kecenderungan pengundi apabila kawasan Felda yang sebelum ini tidak memberikan sokongan kepada BN akhirnya beralih memberikan undi kepada parti itu.

Menurutnya, perkembangan berkenaan menunjukkan masyarakat pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India dan masyarakat Orang Asli mahu melihat kerjasama antara parti politik bagi memastikan kestabilan serta kelangsungan pembangunan negara dan negeri.

“Ini menunjukkan masyarakat di luar sana, berbilang bangsa, sama ada Melayu, Cina, India mahupun Orang Asli, mahu melihat dua parti besar ini bersama-sama untuk memacu negara dan negeri Melaka.

“Saya yakin gelombang biru akan terus bergelombang dengan jayanya,”katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

236
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: ‘ABANG HAKIM’ MAHU SEGARKAN LAGI WAJAH PEKAN MASJID TANAH
Next post PENERIMAAN POSITIF PENGUNDI SUNTIK SEMANGAT CALON BN REMBIA