
PENGALAMAN TIGA TAHUN URUSKAN JAPERUN, BEKALAN BERHARGA BUAT AHMAD NORAZRIL DI REMBIA
REMBIA 8 November – Pengalaman kira-kira tiga tahun berkhidmat sebagai Pegawai Khas Penyelaras Japerun Rembia menjadi pengalaman amat berguna buat calon Barisan Nasional (BN) N.06 Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Ahmad Norazril Abd Aziz.
Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan berkata, pengalaman dimiliki amat berguna buat Ahmad Norazril untuk memahami kehendak rakyat seterusnya merangka hala tuju gerak kerja, sekali gus memastikan agenda menjaga kebajikan penduduk DUN Rembia lebih lancar.
Fairul Nizam yang juga calon nombor 1 DUN Asahan berkata, Ahmad Norazril juga sudah memahami struktur organisasi jabatan-jabatan berkenaan dan pemimpin komuniti hasil daripada pengalaman menguruskan Japerun sebelum ini.
“Pengalaman itu juga menjadi asas kepada Ahmad Norazril untuk memahami saluran menyampaikan aduan dan keperluan penduduk kepada pihak berkaitan, sekali gus memudahkan usaha memperjuangkan kepentingan masyarakat setempat.
“Pengalaman di Japerun bukan sahaja membolehkan Ahmad Norazril memahami selok-belok pengurusan khidmat masyarakat, malah memberi gambaran lebih jelas mengenai tanggungjawab yang perlu digalas sebagai wakil rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Lawatan Pengerusi BN Melaka merangkap Pengarah Pilihan Raya BN Negeri Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh ke Bilik Gerakan N06 DUN Rembia di Sungai Petai, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Calon BN DUN Rembia, Ahmad Norazril Abd Aziz dan Pengerusi MCA Bahagian Alor Gajah Datuk Wira Koh Nai Kwong serta kenamaan lain.
Tambah Fairul Nizam, fokus utama sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 adalah memastikan jentera BN terus bergerak secara tersusun dan konsisten dalam mendekati pengundi serta menyampaikan tawaran parti.
“Pengalaman Ahmad Norazril bersama Japerun Rembia diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya sekiranya diberikan mandat oleh pengundi untuk meneruskan kesinambungan khidmat dan membawa pembangunan kepada penduduk di DUN Rembia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


