DEEPAVALI TETAP MERIAH DALAM BAHANG PRN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDA HILIR 7 November – Bahang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang semakin terasa tidak sedikit pun memudarkan kemeriahan persiapan masyarakat India menyambut Deepavali, yang bakal diraikan dalam suasana penuh warna-warni di negeri ini.

Sebaliknya, kesibukan kempen politik dan persiapan Pesta Cahaya berlangsung seiring, dengan masyarakat India tetap mengutamakan tradisi serta mengambil peluang meraikan perayaan bersama keluarga meskipun suasana pilihan raya turut mewarnai kehidupan seharian mereka.

Bagi V. Thurga, 28, dari Ujong Pasir, persiapan Deepavali tahun ini sedikit mencabar apabila perlu membahagikan masa untuk menyiapkan hiasan serta menyediakan biskut perayaan dalam tempoh yang agak singkat.

Katanya, suasana kempen pilihan raya yang berlangsung serentak memerlukan beliau merancang masa dengan lebih teratur berbanding tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun, saya tetap teruja melihat suasana Little India yang dihiasi lampu berwarna-warni. Memang meriah dan menjadi antara lokasi menarik untuk dikunjungi, selain mengambil gambar sebagai kenangan.

“Saya juga berterima kasih kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang banyak membantu menyediakan hiasan serta mencantikkan kawasan ini bagi menyemarakkan sambutan Deepavali di Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, N. Shila, 61, dari Ayer Keroh berkata, persiapan menyambut Deepavali tetap diteruskan seperti kebiasaan walaupun kempen PRN ketika ini turut menjadi perhatian masyarakat.

Menurutnya, kehadiran poster dan bendera parti politik di sekitar negeri ini menjadikan suasana menjelang Deepavali tahun ini lebih unik apabila kemeriahan perayaan dan pilihan raya dapat dirasai dalam tempoh yang sama.

“Lebih menarik, ahli keluarga yang bekerja di luar Melaka turut mengambil peluang bercuti dan pulang untuk menyambut Deepavali bersama keluarga, selain menantikan hari untuk keluar mengundi.

“Walaupun masing-masing sibuk dengan urusan perayaan dan pilihan raya, saya berharap PRN Melaka berlangsung lancar serta membawa kebaikan kepada negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

162
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: ONN HAFIZ MAHU KERJASAMA BN-PN KEKAL SELAMA-LAMANYA
Next post BN-PN MENYATU, BEMBAN MENANG YADZIL DI BLOK KERAJAAN – AB RAUF