
PRN MELAKA: KJ LIHAT NORAZRIL ADA BANYAK KELEBIHAN DI REMBIA
REMBIA 7 November – Hubungan dua hala antara calon dan masyarakat setempat menjadi antara perkara yang ditekankan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam mengulas kelebihan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Ahmad Norazril Abd Aziz.
Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ berkata, Norazril mempunyai kelebihan kerana bukan sahaja dikenali penduduk, malah turut mengenali masyarakat serta memahami keperluan kawasan yang ingin diwakilinya.
Katanya, pengalaman Norazril dalam politik termasuk pernah berkhidmat sebagai pegawai khas di peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) turut memberikan pendedahan mengenai pentadbiran serta permasalahan penduduk.
“Saya nampak Norazril antara contoh pemimpin yang masih muda, dalam lingkungan 45 tahun dan sangat mesra dengan masyarakat tempatan.
“Pendekatan kita memang ke arah mesra kepada penduduk tempatan. BN bukan sahaja meletakkan calon yang dikenali masyarakat, tetapi calon juga mengenali orang ramai di kawasan setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi ramah mesra di Pasar Alor Gajah bersama calon BN DUN Rembia, Ahmad Norazril Abd Aziz, di sini, hari ini.
Mengulas peluang BN pada PRN kali ini, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan yakin BN akan terus diberi mandat baharu oleh rakyat berdasarkan prestasi Kerajaan Negeri sebelum ini yang dipimpin Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

