PRN MELAKA: TOK JEZ KETUK PINTU RUMAH KE RUMAH, DEKATI PENGUNDI SUNGAI RAMBAI

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

SUNGAI RAMBAI 8 November – Mengetuk pintu rumah penduduk menjadi antara strategi calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N.28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Jezlee Pit atau lebih dikenali sebagai Tok Jez untuk mendekati pengundi secara bersemuka.

Beliau berkata, pendekatan turun padang dari rumah ke rumah itu dipergiat pada minggu kedua kempen bagi memastikan beliau dapat bertemu sendiri penduduk, termasuk mereka yang mungkin tidak berpeluang menghadiri ceramah atau program terbuka.

Menurutnya, menerusi pendekatan itu, beliau bukan sahaja dapat memperkenalkan diri, malah berpeluang mendengar sendiri pandangan serta maklum balas penduduk mengenai isu yang dihadapi mereka.

“Jadi usaha kita adalah untuk berdepan dengan mereka, pergi rumah ke rumah dan mereka akan lebih menghargai kita kalau kita pergi rumah ke rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Lawatan ke DUN Sungai Rambai oleh Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di Bilik Gerakan BN DUN Sungai Rambai, di sini, pada Sabtu.

Mengulas penerimaan pengundi, Jezlee berkata, sambutan penduduk sejak hari pertama beliau diumumkan sebagai calon BN amat positif dan menjadi pembakar semangat untuk meneruskan gerak kerja kempen.

“Alhamdulillah, saya sering katakan orang Sungai Rambai ini baik-baik kerana dapat menerima saya.

“Setiap kali saya berjumpa rakyat, memang respons mereka sangat baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

306
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BN-PN TEKAD RAMPAS SEMULA DUN KESIDANG
Next post PRN MELAKA: AB RAUF BAYANG BERLAKU PERUBAHAN BESAR LANDSKAP POLITIK