PRN MELAKA: TOK JEZ BAKAL BENTANG PELAN ASPIRASI KHUSUS SUNGAI RAMBAI

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

SUNGAI RAMBAI 7 November – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N.28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Jezlee Pit atau lebih dikenali sebagai Tok Jez bakal memperkenalkan satu pelan aspirasi khusus bagi menggariskan hala tuju pembangunan dan keperluan penduduk kawasan itu.

Beliau yang juga calon nombor 1 berkata, pelan berkenaan akan merangkumi beberapa perkara yang sudah lama dibangkitkan penduduk selain tawaran baharu yang dirangka bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Menurutnya, perancangan itu akan diterjemahkan dalam bentuk komitmen kepada rakyat dan berkemungkinan turut dijadikan manifesto khusus bagi DUN berkenaan.

“Saya akan bawa juga perkara-perkara baharu yang saya akan umumkan nanti. Mungkin dalam bentuk manifesto juga, tetapi itulah aspirasi rakyat Sungai Rambai yang saya akan bawa dalam satu pelan yang kita akan umumkan kembali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Lawatan ke DUN Sungai Rambai oleh Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di Bilik Gerakan BN DUN Sungai Rambai, di sini, hari ini.

Mengulas persiapan menghadapi minggu terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Jezlee berkata, pihaknya akan terus mempergiat pendekatan bersemuka selain memperkukuh gerak kerja jentera di media sosial.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan jentera BN bersedia menghadapi perkembangan dan cabaran sepanjang tempoh akhir berkempen.

“Selain daripada itu sudah pastilah minggu terakhir ini akan ada serangan-serangan, jadi kita akan kuatkan jentera kita di media sosial juga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

204
Kongsi :
Previous post BN-PN MENYATU, BEMBAN MENANG YADZIL DI BLOK KERAJAAN – AB RAUF