PRN MELAKA: PENERIMAAN PENGUNDI KESIDANG TERHADAP GELOMBANG BIRU LEBIH 80 PERATUS – ALBERT

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KESIDANG 8 November – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Kesidang, Albert Kok mendakwa penerimaan masyarakat terhadap kempen beliau di kawasan itu melebihi 80 peratus.

Beliau yang juga calon nombor 3 N.19 Kesidang berkata, sambutan positif itu dilihat semakin meningkat dari hari ke hari menerusi pendekatan turun padang dan menyantuni penduduk bagi mendengar sendiri pandangan serta keperluan mereka.

Katanya, gerak kerja kempen yang berterusan menjadi antara pendekatan untuk mendekati lebih ramai pengundi, selain memastikan mesej yang dibawa dapat disampaikan kepada masyarakat setempat.

“Penerimaan rakyat setakat ini untuk Negeri Melaka dan DUN Kesidang terutamanya, lebih kurang 80 peratus ke atas. Memang nampak kita boleh ‘birukan’.

“Malah, kita nampak nampak peratusannya meningkat hari demi hari apabila kita santuni rakyat di semua kawasan,” katanya kepada pemberita selepas Lawatan Pengarah PRN Melaka Ke-16 Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di Bilik Gerakan PN DUN Kesidang, Malim Jaya, di sini, hari ini.

Mengulas keyakinannya terhadap peluang dalam pilihan raya kali ini, Albert berkata, berdasarkan analisis perangkaan yang dirujuk, beliau menjangkakan mampu memperoleh kemenangan dengan kelebihan lebih 1,000 undi.

“Kalau ikutkan perangkaan analisis, kita akan menang ikut peratusan, mungkin lebih daripada 1,000 undi, kita boleh menang,” katanya.

Beliau berkata, tumpuan kempen akan terus diberikan kepada usaha mendekati penduduk dan memperkukuh gerak kerja bersama jentera BN serta PN di kawasan berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

250
Kongsi :
Previous post PENGALAMAN TIGA TAHUN URUSKAN JAPERUN, BEKALAN BERHARGA BUAT AHMAD NORAZRIL DI REMBIA