
PRN MELAKA: ‘SETAPAK PUN SAYA TAK IZINKAN BERUNDUR’ – AB RAUF
KESIDANG 8 November – “Jangan sekali-sekali berundur. Jangan katakan selangkah, setapak pun saya tak izin tuan-tuan berundur.”
Itu arahan tegas Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh kepada jentera Muafakat Melaka supaya terus berjuang dan tidak mengalah dalam usaha merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) DUN Kesidang pada PRN kali ini.
Beliau berkata, seluruh jentera perlu bangkit dan berani menghadapi cabaran sepanjang kempen, selain memastikan setiap peluang yang ada dimanfaatkan untuk mendekati pengundi sehingga hari pengundian pada 14 November ini.
Katanya, kemenangan di Kesidang bukan sekadar pencapaian calon, Albert Kok, bahkan menjadi semangat kepada Muafakat Melaka untuk merampas kembali kerusi berkenaan.
“Jangan takut! Mula-mula memang kita rasa gentar. Jangan takut! Kita kena bangkit, kita kena berani kerana kita masuk dalam gelanggang ini, kita kena berlawan.
“Menang kalah soal nombor dua, tetapi kemenangan ini mesti menjadi semangat untuk kita merampas pula Kesidang kembali kepada Muafakat Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada lawatan ke DUN Kesidang di Bilik Gerakan PN Kesidang, Malim Jaya, di sini, hari ini.
Hadir sama, calon PN N.19 Kesidang Albert Kok; Pengerusi MCA Bahagian Kota Melaka Datuk Wira Gan Tian Loo serta lain-lain kenamaan.
Beliau berkata, Muafakat Melaka yang menghimpunkan Barisan Nasional (BN), MCA dan MIC serta Wawasan perlu menggerakkan kekuatan bersama bagi memastikan sokongan masyarakat pelbagai kaum dapat diterjemahkan menerusi undi kepada calon gabungan itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

