
PRN MELAKA: ‘SATU KESIDANG, SATU HATI’ JADI SLOGAN ALBERT
KESIDANG 9 November – ‘Satu Kesidang, Satu Hati’ menjadi pegangan calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Kesidang, Albert Kok dalam usaha menyatukan masyarakat dan mendekati penduduk sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Beliau yang juga calon nombor 3 kerusi berkenaan berkata, seseorang wakil rakyat perlu terlebih dahulu memahami kehidupan serta keperluan masyarakat sebelum mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk, bukannya melihat kedudukan itu sebagai satu kuasa.
Katanya, pendekatan menyantuni rakyat juga menjadi asas kepada gerak kerja kempen yang dilaksanakan bersama jentera PN dan Barisan Nasional (BN) di kawasan berkenaan.
“Untuk menjadi wakil rakyat, kita mesti bawa jiwa rakyat kita dan kita selalu mesti santuni rakyat dan itulah pegangan saya menerusi slogan Satu Kesidang, Satu Hati,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Lawatan Pengarah PRN Melaka Ke-16 Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di Bilik Gerakan PN DUN Kesidang, Malim Jaya, di sini, pada Ahad.
Mengulas kerjasama antara BN dan PN, Albert berkata, pergerakan kedua-dua gabungan itu menunjukkan perkembangan positif apabila jentera mula bergerak bersama-sama mendekati penduduk.
Beliau berkata, usaha mendekati penduduk secara berterusan penting bagi membina keyakinan masyarakat terhadap pendekatan serta khidmat yang mahu dibawanya.
“Setakat ini sangat merangsangkan. Walaupun pada permulaan agak perlahan, tetapi apabila kita santuni rakyat, kita bergerak bersama dengan BN saya nampak memang kuat dan kita akan birukan Kesidang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

