PRN MELAKA: MCA TIDAK AKAN TINGGALKAN MASYARAKAT CINA

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BANDA HILIR 9 November – MCA tidak akan mengundur diri daripada memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina di Melaka meskipun terpaksa bertanding di kawasan yang dianggap sukar untuk dimenangi.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, keputusan parti itu meletakkan calon di kawasan berkenaan membuktikan komitmen MCA untuk terus memainkan peranan sebagai wakil masyarakat Cina, selain memastikan suara dan kepentingan mereka tidak diketepikan.

Menurutnya, cabaran untuk meraih kemenangan bukan alasan bagi parti itu menarik diri daripada persaingan, sebaliknya MCA perlu terus berusaha mendapatkan sokongan pengundi.

“Memang orang kata susah. Jadi kalau tak dapat pun lagi susah, macam kita terus lepas. Jadi MCA rasa terpanggil untuk bertanding.

“Kita berharap ia sebagai satu suntikan semangat untuk MCA mendapatkan seberapa banyak undi berbanding PRU atau PRN yang lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh ke DUN Bandar Hilir di Bilik Gerakan DUN Bandar Hilir, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, calon BN DUN Bandar Hilir, Jasmine Lok.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, keputusan mempertaruhkan calon di kawasan berkenaan juga bertujuan memberikan pilihan kepada pengundi untuk memilih wakil rakyat yang dikenali serta memahami keperluan masyarakat setempat.

Katanya, beliau berharap kedua-dua calon BN, Melvin Chua yang bertanding di DUN Kota Laksamana dan Jasmine Lok di DUN Bandar Hilir, dapat membawa suara penduduk di kawasan masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

204
Kongsi :
Previous post MACHAP JAYA YAKIN MAMPU SUMBANG KEMENANGAN BESAR BUAT BN